Oleh: Halawatul Iman

Tidak mudah.

Penat.

Hingga hari ini, saya masih merasai kepenatan yang terkumpul sejak beberapa minggu yang lalu.

Namun, ada sesuatu yang membuatkan rasa kepenatan itu hilang serta merta. Lantas saya tersenyum sendiri.

Mengenangkan hari-hari yang berlalu bersama-sama kanak-kanak Sekolah Melayu Sheffield, ia amat menggamit perasaan. Tidak dinafikan, agak memenatkan untuk meladeni kerenah anak-anak yang pelbagai ragam. Kadangkala ada juga timbul rasa geram dengan kenakalan mereka. Namun bak kata orang, senakal mana pun mereka,anak-anak inilah yang akan membuat kita tersenyum sendiri tatkala mengenangkan telatah mereka.

Hampir dua bulan saya bersama-sama dengan kanak-kanak ini . Pastinya, ia banyak mengajar saya tentang erti pengorbanan.

Pengorbanan ibu, ayah, dan guru.

Bagi golongan ibu dan ayah, bukan mudah untuk membesarkan anak-anak.

Bagi golongan guru, bukan senang untuk mendidik murid-murid.

Namun, ironinya..bukan mudah juga golongan anak-anak mahupun murid-murid untuk memahami pengorbanan dan kasih sayang ibu, ayah dan guru-guru.

Ya..bukan mudah dan bukan senang.

Kesukaran inilah acapkali buat saya termenung.

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Saya masih ingat, ketika mula-mula saya berdampingan dengan kanak-kanak ini, saya perlu mengajar mereka membaca sebelum menyanyi dan menghafal lirik lagu Desa Tercinta (Nora). Ada antara mereka belum mahir membaca, lebih-lebih lagi membaca dalam bahasa Melayu. Maklumlah, sudah bertahun berada di bumi Inggeris, cakap orang putihnya sahaja lebih advance daripada bahasa ibundanya sendiri.

Hampir sebulan setengah pertama, saya melatih kanak-kanak ini seorang diri tanpa kehadiran pembantu kerana memberi laluan kepada mereka untuk fokus kepada peperiksaan mereka. Hari pertama, saya memang tidak dapat menyembunyikan debaran yang berdegup dalam dada. Saya sendiri tidak pasti mengapa.

Terus terang saya katakan, minggu pertama adalah minggu yang paling sukar bagi saya. Saya perlu menghafal nama mereka. Saya perlu mengikut rentak mereka sebelum “menjinakkan” mereka. Saya perlu itu..Saya perlu ini…

Namun, dalam proses mengajar dan melatih mereka, saya menemukan pelbagai pengalaman yang benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam. Jujurnya, saya suka mencedok ‘ibrah daripada pengalaman yang singgah bersanggar dalam episod kehidupan peribadi saya.

………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Cerita satu.

Pada peringkat awal, saya mengajar mereka membaca lirik perenggan demi demi perenggan.


Padi melambai-lambai

Gadis di tepi bendang

Walau panas membahang

Tetap manis tersenyum riang.


“Cikgu…padi tu apa?” tanya salah seorang daripada mereka.

“Oh..padi tu..pokok beras..rice..,” jawab saya, ringkas.

“Oh..rice.. Cikgu, bendang tu apa?” lagi pertanyaan daripada mereka.

“Emm..bendang tu..sawah padi..tempat tanam padi..,” terang saya lagi.

“Oh..tanam padi..tapi, padi tu apa?” tanya mereka lagi.

“Erk..tadikan cikgu dah bagitahu padi tu pokok beras..rice,”

“Oh..padi tu rice eh cikgu?” soalan sama ditanya lagi.

Saya mengerutkan dahi.

………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Cerita dua.

Kali ini, saya mengajar rangkap yang lain pula.

Dan senja pun berlabuh

Malam pula bertamu

Dengar cerita atuk

Nenek pun mula menjeling.

Emm apa tu?

“Cikgu..cikgu!” teriak Alia, gadis berusia 6 tahun. Kurus kering orangnya.

“Ya Alia..kenapa?”

“Cikgu, kenapa nenek jeling atuk?”

Alamak? Awat tanya soalan ni..Manalah saya tahu..bisik hati saya.

“Hmmm…”, otak saya ligat mencari jawapan.

“Sebab..atuk nakal..atuk main-main..” saya mereka-reka jawapan.

“Eh..tak boleh lah cikgu! Atuk dah tua! Atuk tak boleh main-main!” bidas anak kecil ini. Bersungguh-sungguh menggeleng-gelengkan kepala.

Hm..alamak..sudah!..getus hati saya.

“Ok..Ok..atuk tak nakal..atuk baik,” saya membetulkan “fakta”.

“Atuk..atuk…hm…Hah! Cikgu tahu! Mesti atuk buat bising kat rumah, sebab tu nenek jeling atuk!,” saya cuba menembak, mudah-mudahan “tembakan” kali ini mengenai sasaran.

“Oh…atuk buat bising eh cikgu? Patutlah nenek jeling..,” kepala diangguk-angguk, tanDa puas hati dengan jawapan “tembakan” saya.

Fuh, saya menarik nafas lega.

……………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Cerita tiga.

“Cikgu..bila kita nak buat persembahan betul-betul ni? Kata nak masuk TV?” , tanya Fatihah, anak kecil kelahiran bumi Bawah Bayu.

“Oh..seminggu lagi, hari Ahad ” jawab saya. Senyum.

” Seminggu tu lama tak cikgu?”

“Oh..tak lama..7 hari..”

“Oh..7 hari tu macam ni eh cikgu?” tanyanya lagi sambil menunjukkan 10 jarinya.

“Oh..tak..tu sepuluh hari, 7 hari, macam ni,” saya menyembunyikan 3 jarinya dan meninggalkan 7 jari sahaja.

“Oh..ni 7 hari eh cikgu? ” tanyanya lagi tanpa jemu.

“Ya Tihah, ni 7 hari sama dengan seminggu. Lepas habis seminggu, Tihah dan kawan-kawan akan naik pentas ya?” saya cuba menamatkan pertanyaannya.

“Oh..naik pentas? Bestnya!! Bila kita nak naik pentas, cikgu?”

Aduhai..bukan tadi cikgu dah bagitahu ke, lagi seminggu baru naik pentas, saya mengomel sendirian dalam hati.

“Tihah..kan cikgu dah cakap tadi, lepas seminggu, 7 hari..kita naik pentas ya?”

“Seminggu tu macam ni eh cikgu?” dia mengunjukkan 10 jarinya kepada saya.

Aduhai..

Kali ini, saya menggaru kepala yang tidak gatal.

……………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Beberapa potongan ringkas perbualan antara saya dengan kanak-kanak ini membawa saya mengimbau kembali satu lagi cerita yang amat menyayat hati. Cerita ini saya dengari ketika saya berumur 17 tahun.

Yang paling istimewa, cerita ini dikisahkan oleh seorang tokoh yang amat saya hormati dan kasihi, Allahyarham Pak Man. Beliau merupkan pakar motivasi yang pernah mencurahkan bakti dan keringat menyedarkan saya dan kawan-kawan (ketika itu sedang bersiap-siap menghadapi SPM di MRSM Serting, Negeri Sembilan) betapa besarnya pengorbanan ayah dan ibu membesarkan anak-anak.

Jangankan pengorbanan wang ringgit dan keringat, untuk melayani kerenah kita semasa kecil sudah cukup menguji kesabaran mereka!!

Saya tidak akan lupa kisah ini.

Kisah seorang ayah, anak dan seekor burung.

Buat bonda Mah Binti Ab Majid dan ayahanda, Othman Bin Dirim..

Sungguhpun kalian tidak membaca tulisan ini, terimalah ucapan kasih dan sayang daripada anakandamu ini. Terima kasih kerana melahir dan membesarkan diri ini dengan tabah sejak 22 tahun yang lalu. Moga Allah mengganjari pengorbanan kalian berdua dengan kasih sayang dan syurga-Nya.

Cerita hati seorang anak,

iman muslihah

19 Mac 2009