Monday, 12 October 2009

Rahsia

Sabtu, 10 Oktober 2009.

Pagi ini, bumi Sheffield masih basah. Matahari baru sahaja datang. Hujan yang bercucuran datang pada hari-hari yang semalam mungkin sudah segan asyik bertandang. Sesekali bayu bertiup, bunyi-bunyi burung menyambut seruan alam. Warna-warna keceriaan mula terlakar di dada langit. Barangkali burung-burung itu sudah tahu, tatkala hujan dan mendung menghilang, sang pelangi akan datang memberi salam.

Ah, bahasa alam memang puitis.

Sudah lama saya tidak mentadabbur bahasa alam. Bukan tidak mahu, tetapi saya gagal menemukan ruang-ruang waktu yang mampu menghanyutkan saya dalam keindahan panorama alam buana. Saya terpaksa akur dengan peredaran masa yang sungguh radikal. Pagi hingga ke lewat petang fizikal saya tunduk kepada tuntutan terhadap pelajaran. Semakin lama, ia semakin mendesak. Hingga kadangakala saya kehilangan nafas yang panjang.

Pagi ini, untuk kesekian lama, saya mendongak lama merenung tingkap kaca yang dibina di bahagian atap di kamar tidur saya. Saya amat suka akan langit. Saya suka melihat awan yang berarak. Melalui tingkap dengan kemasan pine wood inilah, saya memerhatikan rona-rona langit yang sering bertukar rupa. Sesekali, sekawan awan lalu melintasi atas kepala. Dan tatkala kepekatan malam menyelubungi angkasa, saya seringkali mencuba untuk mencari kelibat bintang kejora. Namun sayang, langit malam di tanah asing tidak pernah dapat menandingi langit di tanah air. Kerdipan bintang di sini tidak seceria kerdipan bintang di Malaysia.

Namun begitu, inilah keindahan alam yang tidak pernah gagal menyuntikkan dos penenang ke dalam jiwa saya.

Keindahan yang amat cantik.

Kecantikan yang amat indah.

Kecantikan dan keindahan yang amat menenangkan. Ketenangan yang melahirkan bibit-bibit cinta dan penghargaan pada penciptaan yang agung itu.

“Bertuah sungguh engkau wahai alam, Allah menciptakan engkau dengan penuh keindahan, dengan penuh kecantikan. Lebih mengagumkan , kecantikan dan keindahanmu itu mampu membiaskan sinar ketenangan dan kecintaan ke dalam hati-hati yang gersang,”

“Apakah rahsiamu yang menyebabkan Allah memberikan mu anugerah sedemikian rupa?”

“Ceritakanlah apakah rahsiamu wahai alam?”

………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

Beauty is in the Eye of the Beholder?


Ahad, Oktober 2009.

Sheffield.

“Kakak sepupu akak tu memang cantik. Akak ingat lagi sebelum dia kahwin, diorang first time jumpa di kaunter bank. Kakak sepupu akak tu kerja kat bank. Bila jumpa je, terus lelaki tu minta contact dia,” bersungguh-sungguh Kak Zulfa bercerita.

“Hmm..Oh, kiranya diorang ni kahwin sebab love at first sight lah ni?,” saya mencelah, cuba membuat kesimpulan rambang.

“Haah, ye lah orang cantik..macam tu lah..”

Petang ahad itu, dalam perjalanan menuju ke rumah terbuka keluarga postgraduate, kami berlima rancak berbual-bual sesama sendiri. Cuma Kak Nik Mun agak sedikit pendiam, mungkin kerana fokus memandu. (Atau fokus lain? saya pun tak pasti :-) )

“Haah, ye lah orang cantik..macam tu lah..”. Entah mengapa kenyataan rambang Kak Zulfa ini membuatkan saya termangu, diam.

“Hmmm..” Saya cuba mencari rentak perbincangan. “Kak, memang orang zaman sekarang ni akan tengok pada kecantikan dulu ke? Love at first sight ni biasanya orang cantik je ke dapat? “

” Hmm..tak jugak. Tapi realitinya memang orang pandang yang cantik dulu, nak buat macam mana kan…,”

“Tapi, kecantikan tu subjektif. Susah nak tafsir. Bergantung kepada orang yang melihat tu, kan beauty is in the eye of the beholder,” sampuk Kak Raudah yang duduk di sebelah tempat duduk pemandu.

Beauty is in the EYE of the beholder?

Kecantikan dinilai pada mata? , bisik saya lirih.

……………………………………………………………………………………………………..

Ketika saya bercuti hampir sepurnama di Malaysia, beberapa bulan yang lalu, saya mendapati lambakan iklan-iklan produk wanita yang membawa sepanduk “kecantikan” sebagai bahan pelaris. Ada yang menjaja kecantikan rambut yang bersinar, kulit yang lembut, muka yang putih melepak dan alat mekap yang menarik. Saya dapati, wanita- wanita yang bertudung litup mula menjadi sasaran pengarah seni pengiklanan untuk menghiasi kaca tv dan dada majalah.

Malah, semakin banyak juga iklan yang menampilkan model lelaki yang pada awalnya tidak tertarik pada model wanita tersebut lantaran kulitnya yang gelap dan kusam dan rambutnya tidak lurus berseri. Namun begitu, bagaikan “magic”, setelah menggunakan produk tersebut dan bertukar menjadi “cantik” pada tafsiran mereka, model lelaki tersebut terus membuka mata dan cuba menarik perhatian si model wanita.

Jatuh cinta, konon.

Jujurnya, saya amat emosional menonton iklan sebegini. Saya tidak tahu mengapa, tetapi saya keliru apakah tafsiran masyarakat kontemporari masa kini terhadap kecantikan. Kecantikan lahiriah yang “konon-konon”nya membibitkan rasa cinta. Cinta yang bagaimana, saya pun tidak pasti. Cinta plastik? Cinta fotokopi? Cinta monyet? Saya tidak arif hal ini. Saya tinggalkan dahulu perihal cinta ini dulu kerana ada sesuatu yang lebih signifikan bermain-main di tangkai pemikiran saya.

Beberapa hari yang lalu, ada beberapa statement daripada teman-teman yang membuatkan generator otak saya berpusing ligat.

“Kak, akak tak tahu, hero korea dalam cerita tu handsome sangat..serius handsome, ” suatu hari seorang adik first year beria-ria menceritakan serba serbi tentang kegemarannya pada hero korea kepada saya.

“Eh, saya suka Maya Karin, dia tak pakai mekap pun cantik. Pendek kata, dia tu memang sangat cantiklah,” salah seorang teman meluahkan pendapatnya pada saya pada hari yang lainnya.

Terkadang, saya tertanya-tanya apakah yang didefinisikan sebagai cantik. Betulkah kecantikan itu benar-benar sepertimana yang dinyatakan dalam pepatah Inggeris ” Beauty is in the eye of beholder” ?

Mata bagaimankah yang menjadi juru nilai kepada penafsiran kecantikan itu?

Adakah “mata” yang sering terdedah kepada kepada warna-warni fesyen, lalu “mata” itu mampu menterjemahkan definisi kecantikan yang sebenar?

Adakah “mata” yang sering mengejar perkembangan dunia peragaan dan kecantikan, lalu “mata” itu mampu memberikan maksud kecantikan yang tepat?

Jika benarlah “mata” inilah yang menjadi juru nilai, tidak hairanlah jika wanita hari ini berada dalam satu bentuk kongkongan kecantikan.

………………………………………………………………………………………………..

Dikongkong atau mengongkong?

Julai 2009, Birmingham.

” Apa kamu nak hujahkan jika ada orang yang mengatakan berhijab/ menutup aurat itu adalah satu bentuk kongkongan/ oppression?” tanya seorang murabbi yang banyak menitiskan ilmu dan tarbiyah dalam satu daurah sedikit masa dahulu.

Dewan sunyi sepi.

“Macam mana kamu nak bidas tuduhan oppression yang mereka momokkan ini terhadap syariat dan wanita Islam? ,” beliau cuba memprovok kami dengan soalan yang bersifat retoris.

Hening. Masih lagi sepi.

“Di sini, kamu kena faham apa yang dimaksudkan kongkongan atau oppression tu!. Kamu kena jelas dalam hal ini, siapa sebenarnya yang terkongkong?”

“Kamu lihat, berapa ramai yang bersusah payah mengorbankan beribu-ribu ringgit hanya untuk kelihatan cantik? “

“Kamu lihat berapa ramai yang sanggup menanggung kesakitan untuk jalani pembedahan itu dan ini hanya untuk tampil cantik?”

“Kamu lihat berapa ramai yang terlantar akibat mengambil pil itu dan ini untuk jadi langsing, untuk jadi cantik?”

Soalan demi soalan dilontarkan. Dewan masih membeku. Khusyuk mendengar.

“Golongan seperti ini meletakkan diri mereka dalam bentuk kongkongan yang mereka cipta sendiri. Mereka berasa tertekan jika dikatakan ketinggalan dengan arus fesyen dan kecantikan semasa. Mereka menjadi stress jika tidak memiliki produk kecantikan atau fesyen kontemporari masa kini. Mereka merasa aib dan malu jika dikatakan tidak up to date. Mereka patuh pada apa fesyen kata. Akhirnya mereka tunduk pada tuntutan nafsu serakah yang tidak pernah puas meminta itu dan ini. Maka, berlakulah pembaziran materi, menanggung kesakitan dan sebagainya,” terangnya panjang lebar.

Sambungnya lagi, “Maka di sini, persoalannya di sini, siapakah yang sebenarnya menjadi mangsa kongkongan? Adakah orang yang berpakaian sederhana dan mematuhi kesempurnaan syariat Islam? Ataupun orang yang sibuk terkejar-kejarkan kecantikan duniawi hingga mengorbankan diri dan cuba memperlekehkan undang – undang Allah? Siapakah yang dikongkong dan terkongkong sebenarnya?,” berkobar-kobar semangat Sang Murabbi cuba mendedahkan realiti sebenar tentang isu “kongkongan” yang sering menjadi modal pemikir liberal yang cuba memandang rendah terhadap kebijaksanaan Allah menyusun perlembagaan kehidupan.

Hah, siapa yang terkongkong dan dikongkong?

……………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Baruku tahu rahsiamu…


Hari ini, baru saya sedar mengapa jiwa mudah merasa tenteram apabila melihat keindahan panorama alam.

Hari ini, baru saya fahami rahsia kecantikan alam yang mampu membawa aura ketenangan kepada hati. Rahsianya adalah:

Semua yang berada di langit dan yang berada di bumi bertasbih kepada Allah (menyatakan kebesaran Allah). Dan Dialah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. (surah al-Hadid; 57:1)

Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun. (surah al-Isra`; 17:44)

Nah, inilah rahsia petua kecantikan yang membawa ketenangan kepada hati. Inilah rahsia kecantikan dan keindahan ciptaan alam buana. Rahsianya terletak pada tasbih, tunduk dan patuh dengan taat kepada Allah. Inilah kecantikan fitrah. Keindahan yang tidak sesukanya dinilai pada mata pemerhati, tetapi ia melalui proses menundukkan jiwa yang kerdil kepada Pencipta.

Ya, ia dinilai pada mata hati yang tulus. Yang tunduk pada Rabb iaitu pada Pencipta dan Pemelihara. Hati yang berpenghunikan pasangan IMAN dan TAQWA.

Apalah gunanya jika bersusah payah mencantikkan paras rupa dengan itu dan ini tetapi hati kosong dan lesu?

Apalah manfaatnya, jika ada yang bergolok gadai untuk tampil cantik hingga menggadaikan pegangan Ad Deen? Aurat entah ke mana? Malah, bagi yang sudah sedia elok menutup aurat, bagaimana pula menjaga diri tidak terjebak dalam gejala tabarruj yang boleh merosakkan amalan?

Semuanya berbalik kepada hati. Kerana dalam hati ada Iman. Dan Iman yang terpelihara akan sentiasa ditemani Taqwa. Iman dan Taqwa inilah yang akan membiaskan kecantikan yang lebih bermakna daripada calitan-calitan mekap atau fesyen-fesyen terkini.

…………………………………………………………………………………………………………………………….

awan

Sang suria yang memancar cahaya yang indah, sang pawana yang menghembus hawa yang dingin, pepohon yang menghijau damai, kesemuanya berzikir dan bertasbih tanpa jemu. Tidak pernah menongkah arus melawan perintah dan sunnatullah. Inilah rahsia anugerah kecantikan alam semesta.

Maka, marilah kita ambil pelajaran dan ibrah daripada alam! Tiada sesiapa yang lebih tahu apa yang terbaik untuk kita, kecuali Allah. Jangan kita ingkar, jangan kita takbur dengan perintah Allah!

Bukalah mata, dan hayati kebesaran Tuhan. Contohilah kepatuhan dan ketaatan alam.

Ini adalah satu lagi siri tarbiyah untuk kita menguatkan pautan Iman dan Taqwa. Dalam ekspedisi memburu keredhaan Allah.

hhhhhhh

halawatul iman,

Salsabila, Broomhall.

Sheffield.

No comments: