Friday 31 July 2009

Siapakah di hatimu?

“Manusia ni memang mudah lupa kan kak?”


April 2009.

Botanical Garden , Sheffield.


“Kak Wani!! Tengok tu!! Cantiknya!! “, jerit kecil anak gadis manis ini sambil menuding jarinya ke arah sesuatu. Dia berdiri tercegat sambil jarinya pantas memetik punat kamera digitalnya. Benar-benar terpesona dengan hamparan alam yang memikat sukma.

Pagi itu, matahari sangat pemurah dengan cahayanya. Arus awan yang berwarna putih salju berarak lembut di dada langit yang luas. Sesekali angin dingin menyapa tubuh , mesra. Di celahan itu, sekawan burung menyanyi riang, menghadiahkan irama klasik yang sungguh menenangkan.

April.

April menyaksikan pesona keindahan warna warni yang menghias hampir ke seluruh bumi Inggeris. Musim bunga mula menjengah. Dan menyinggah. Saat ini, bunga-bunga seakan akan berpesta. Berlumba-lumba menunjukkan keindahan masing-masing. Kuning, merah, jingga , biru dan apa sahaja. Tumbuh mekar . Memanjat, menjalar dan melata.

“Kak, jom ambil gambar sama-sama!”

Lamunan termati.

Saya memandang kea rah dua orang gadis yang gembira ke sana dan ke sini. Merakamkan keindahan alam dengan dengan kamera masing-masing. Sedangkan saya, walaupun kamera ada di tangan, seperti biasa saya lebih banyak mengelamun sendiri.

“Ok! Jom!” saya berlari –lari anak ke arah mereka.

Pada cuti musim bunga yang lepas, saya menerima kunjungan daripada dua orang adik yang pernah menjadi pelajar junior di Kolej MARA Banting pada dua tahun yang lepas. Amilia dan Jannah. Kini mereka menuntut di University of Leeds. Alhamdulilah pada tahun ini saya menerima banyak kunjungan daripada rakan-rakan dan adik-adik dari sekitar UK dan Ireland.

“Kak, cantik kan bunga-bunga tu?” sapa Amilia. Leka dia merenung rimbunan bunga yang saya sendiri tidak tahu apakah nama dan spesiesnya.

“ Cantik,” jawab saya pendek. Saya mendekati bunga-bunga itu. Membongkok dan mengambil posisi yang terbaik saya kira sambil mengacu Samsung L100. Ketika saat jari saya ingin memetik punat snap...

“Kak, perasan tak. Bunga-bunga ni, pokok-pokok , langit, alam ni..cantik sangat kan? Manusia selalu cuba nak rakamkan kecantikan itu melalui kamera dan lukisan. Macam sekarang ni, ramai orang berebut-rebut nak beli kamera canggih-canggih, mahal-mahal sebab kata mereka nak rakam gambar yang terbaik, yang paling berkualiti. Kalau tak ada dslr, kata mereka tak boleh”.

Kata-katanya terhenti seketika. Perlahan lahan dia mengambil nafas lalu menyambung.

“Manusia suka memikirkan benda yang jauh dan selalu lupa benda yang berada di depan mata kan kak? . Macam kamera ni, saya fikir kadang-kadang manusia lupa mereka sebenarnya sudah sedia ada memiliki natural camera yang lebih hebat, yang lebih berkualiti, yang lebih canggih daripada mana-mana kamera kat dunia ni. Sebutlah mana-mana jenama pun,Nikon ke, Sony ke, Canon ke tak akan dapat menandingi kehebatan natural camera tu,”

Saya merenung ke wajah bujur anak gadis kelahiran negeri labu sayung ini. Saya renung matanya dalam-dalam.

“Kamera apa tu ya Amilia?” saya menduga.

“Kamera itu adalah mata kita, kak. Kedua-dua belah mata kita. Ini lah kamera yang paling hebat di dunia , paling mahal dan berharga. Paling tajam fokusnya, paling hebat mega pixelnya. Kamera yang paling sempurna, kak. Paling canggih dan penciptaannya tak akan pernah obsolete selama-lamanya. Tak akan pernah. Tak akan”.

Jeda. Saat itu saya terdiam membeku. Terpaku.

“Hebat kamera tu. Hebat lagi pencipta yang mencipta kamera tu. Betul tak kak?”, suaranya memecah kesunyian yang menyapa.

Saya merapati tubuhnya. Perlahan-lahan, saya menepuk-nepuk lembut belakangnya. Pandangan bertaut. Saya menghadiahinya sekuntum senyuman.

“Pandai adik akak,” .

.........................................................................................................................................................

Hakikat sepasang mata : Antara rahsia dan teka teki.

Angin bersiul-siul riang. Pepohonan yang hijau merimbun rendang. Dengan ramah, ia menyediakan teduhan daripada sinaran suria yang megah memancar. Di sudut-sudut tertentu, bunga-bungaan bergantungan ceria di ranting-ranting yang panjang. Beraneka rupa dan rona. Ada yang berstigma , bertanduk dan berpita. Terkadang, ia ikut menari bersama angin.

Saya mendongak memandang langit biru. Berdiri mematung untuk sekian lama. Untuk seketika, saya tersedar betapa alam ini banyak menyimpan rahsia. Rahsia yang disimpan dalam jantung kehidupan. Rahsia yang menyamarkan dirinya dalam bentuk hikmah dan ‘ibrah.

Maha suci Allah, pada hari itu saya mempelajari sesuatu yang amat berharga tentang kehidupan. Tentang nikmat yang sering dilupakan.

Saban hari kehidupan baru silih berganti. Ia datang umpama sang pagi yang merah merekah. Dan di kesempatan pagi itu, manusia mula bangkit daripada lena. Mereka mencelikkan mata.

Lalu, sehari suntuk lamanya, manusia menggunakan nikmat mata.

Dengan sepasang mata itulah, rutin-rutin harian terus berlangsung seperti hari-hari sebelumnya.

Dengan sepasang mata itulah ia membantu manusia melihat untuk mentafsir dan berfikir.

Dengan sepasang mata itulah ia membantu manusia melihat untuk membaca dan berzikir.

Namun, hidup ini penuh dengan rahsia dan teka teki. Setiap penciptaan oleh Rabbul Jalil menyimpan 1001 hikmah yang kadangkala sukar untuk dimengertikan.

Mata umpamanya. Mata sepatutnya digunakan untuk melihat mahkluk Allah yang lain dengan pandangan kasih sayang. Melihat dunia dengan pandangan zuhud. Melihat amalan soleh dengan pandangan cinta. Melihat maksiat dengan pandangan jijik. Secara tuntasnya mata dibekalkan oleh Allah untuk membantu manusia meraih keredhaan-Nya, keampunan-Nya dan kasih sayang-Nya.Demi untuk mengumpul saham dan menempah tiket ke Syurga Firdausi.

Tetapi hakikatnya hari ini, berapa ramai yang memandang manusia lain dengan pandangan benci? Berapa ramai yang memandang dunia, pangkat dan harta dengan pandangan cinta? Lantas simptom penyakit wahan ini menjadi barah yang amat jahat. Tersangat jahat. Jahat yang menghumbankan manusia ke dalam lubuk neraka yang amat mengerikan.

Jadi, di manakah letaknya pandangan mata? Syurga atau neraka?

Sungguh mengelirukan!

Aduhai..mata oh mata!

......................................................................................................................................................

Manusia Vs Lembu


Perhimpunan Musim Sejuk, Loch Lomond, Scotland.

Disember 2008.


“Apa beza antara manusia dan haiwan?,” Tanya Ustaz Mazrul, seperti biasa, bernada tegas.

“Manusia ada akal, boleh fikir. Haiwan tak ada akal, tak boleh fikir,” jawab sekelompok pelajar. Kedengaran teriakan jawapan yang sungguh meyakinkan .

“Oh, bezanya yang paling ketara antara manusia dan haiwan ialah akal?” duga ustaz beranak dua ini.

“Ya!!” balas segolongan besar pelajar.

“Ok, ana bagi contoh. Katakanlah ada seekor lembu ni. Tuan dia bagi 2 jenis makanan. Sebelah kanan, ada rumput yang hijau, bersih dan segar. Di kiri pula, ada rumput yang kuning, kering, kotor dan sungguh tidak menyelerakan. Rasa-rasanya lembu tu pilih rumput yang mana satu?”

“Rumput segar!!” jawab mereka.

“So, sebenarnya lembu ni bolehlah bezakan benda yang baik dengan benda yang kurang baik. Bukan? Pandai pula lembu tu pilih makanan yang baik-baik. Boleh dikatakan lembu ni ada lah akal juga sebenarnya walaupun tak sehebat manusia. Betul tak?” Uji sang ustaz lagi.

Ketika itu, suasana dewan sudah mula hingar bingar. Ada yang berbisik-bisik sesama sendiri.

“Sebenarnya Rasullulah dah bagi jawapan dah. Tengok ni,” ujarnya sambil jarinya mengunjuk ke arah power point slide.

Maksud bahagian terakhir hadis ke-6, hadis 40 An Nawawi :

Ketahuilah setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak , maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.

“Rasullullah dah bagi jawapan bahawa sebenarnya manusia itu menjadi unik dan istimewa kerana manusia ada hati, bukan kerana akal semata-mata. Iman letaknya dalam hati. Dengan hati, manusia mengenal Allah. Dengan hati, menusia memahami ayat Allah. Hati itulah yang menentukan baik buruknya seluruh jasad. Maka, hati adalah komponen yang paling utama dalam penciptaan manusia. Inilah yang membezakan antara manusia dan haiwan!" terang Ustaz Mazrul, penuh bersemangat.

Mata, akal dan hati.

Ketiga-tiganya merupakan ciptaan Allah yang amat berharga. Ketiga -tiga panca indera ini memainkan peranan masing-masing dengan nuansa kehalusan dan kemurnian yang sangat individual dalam kehidupan setiap anak adam. Namun, secebis daging bernama hati itulah menjadi raja yang mengawal pentadbiran sebuah kerajaan bernama jasad.

Ya. Pandangan hati.

Bukan pandangan mata. Bukan pandangan akal.

Jauh sekali pandangan nafsu.

Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah
Pandangan nafsu selalu melulu
Pandangan hati itu yang hakiki
Kalau hati itu bersih.


...........................................................................................................................................................

Antara mata, akal , hati...dan dSLR?!


Setelah hampir 2 tahun setengah saya menjadi pengguna digital camera, beberapa hari yang lepas Allah temukan saya dengan hari yang sudah lama saya nanti-nantikan. Jika pada cuti musim panas ini, ramai sahabat seangkatan menemui teman hidup, saya juga turut didatangi teman yang baru.

Memperkenalkan Canon EOS 450D ! :-)

Hampir setahun saya berkira-kira untuk memiliki digital SLR ( Single lens reflex). Maklumlah saya bukanlah termasuk dalam golongan berhobi mahal dan ekslusif. Tatkala rakan-rakan begitu menggilai dSLR dan sanggup menunggu berjam-jam untuk mendapatkan bid yang terbaik di e-bay, saya hanya meneruskan kegemaran yang baru berputik sejak setahun lepas dengan kamera comel saya, Si Nurul Izzah. Mungkin gambarnya tidak secantik mana, imej tidak setajam mana, angle tidak seseni mana, namun saya puas merakamkan panorama duniawi.

Terima kasih tidak terhingga kepada rakan-rakan yang membantu saya memilih "rakan baru" saya ini. Antaranya sifu saya, fan_pai yang sungguh berjasa sejak turun temurun, beliau sering membantu saya memilih gadget dan komputer. " To che' sifu!" - sila beri tunjuk ajar!- .

Begitu juga kepada "kawan alam maya" saya yang telah diterjemahkan "ke alam realiti" pada beberapa hari yang lepas. Cik Nurhasanah Mazalan / As yang setia menjadi perisik saya sejak beberapa bulan yang lalu. Ini adalah kali pertama kali saya berjumpa dengan penulis blog nurilahi.blogspot ini setelah saban hari berhubung melalui ruangan komen blog masing-masing dan emel. Kasihan dia, baru first time jumpa dah kena temankan saya dari kedai ke kedai untuk dapatkan dSLR idaman. Lebih kurang macam sifu saya juga ni. dSLR pun sama jenis. huhu. Sila beri tunjuk ajar , aite?

Saat menggunakan kamera kecil saya. Imej tak berapa sharp, tapi nilai estetika tu tetap ada kan? hehe :-)
Saat menggunakan kamera kecil saya. Imej tak berapa sharp, tapi nilai estetika tu tetap ada kan? hehe :-)

Dalam tempoh saya menimbang tara untuk memiliki dSLR atau tidak, pernah terlintas di benak fikiran saya bagaimana hobi yang mahal ini mampu dinaikkan nilai ekslusifnya pada pandangan mata hati. Pada pandangan Ilahi.

Alangkah malunya saya jika saya meletakkan nilai esklusifnya hanya pada nilaian mata wang yang menelan ribuan ringgit Malaysia.Alangkah malunya jika nilainya hanya terletak pada kesenian dalam menghasilkan gambar yang berkualiti dan berestetika.

Malu saya terhadap Allah akan berganda saya jika wang yang dilaburkan ini tidak dapat saya manfaatkan untuk melonjakkan iman di hati. Bertambah aib saya jika ia langsung tidak dapat melajukan dakwah , tarbiyah dan Islam.

Ya Allah, jangan kau jadikan pesona dunia ini melalaikan aku daripada mengingatiMu.


iman muslihah

9 syaaban 1430

Muar , Johor.

Malaysia.