Ahad, 1 Februari 2009
Royal Halamshire Hospital.
"Kak, kenapa ni? Kenapa sedih sangat hari ni? Janganlah menangis lagi, " pujuk saya sambil mengusap lembut kepalanya dengan tuala basah. Sesekali dia mengerang kesakitan apabila tuala basah itu menyapa tengkuknya yang membengkak. Hampir seluruh badannya mengalami oedema.
"Akak sedih Wani...akak sedih sangat.." air mata mengalir deras. Membasahi jari jemari saya.
Hangat.
"Akak sakit Wani..akak sakit sangat.."
Allahuakbar...saya mengetap bibir. Menahan rasa.
"Kak, tahu tak kenapa akak sakit hmm? Allah pilih akak sebab akak kuat, akak tabah. Akak istimewa. Allah tahu, antara hamba-hamba yang dikasihi-Nya, akak adalah antara hamba-Nya yang paling kuat. Jadi, Dia pilih akak untuk menerima ujian daripada-Nya," .
Esakan demi esakan mengisi ruang kamar hospital petang itu. Di luar, langit menggugurkan saljunya. Memutihkan halaman bumi. Ahh..kedinginan di luar sama dinginnya perasaan dalam hati.
Saya melepaskan keluhan berat.
Menatap sekujur tubuh yang lemah longlai di hadapan mata bagaikan menyiat-nyiat tangki simpati.Menyentap seluruh jiwa.
"Kak...janganlah menangis lagi.. Hmm..kak, tudung akak ni macam dah kotor,mari kita tukarkan tudung akak. Hmm..hari ni kita pakai tudung warna pink lembut ni ya? " saya mengeluarkan sehelai tudung daripada begnya.
Dia mengangguk lemah. Mengesat sisa-sisa tangisan di hujung pelupuk mata.
"Tapi kan Wani, akak ni busuk sikit..akak belum gosok gigi lagi hari ni, akak malu dekat Wani,"
"Eh, apa nak malu. Tak apa-tak apa, kita tolong akak bersihkan diri ya? Lepas tu, kita tolong sikatkan rambut akak kemas-kemas dan pakai tudung baru,ok ?" .
Saya cuba sedaya upaya untuk menghadiahkannya sekuntum senyuman yang paling manis, tetapi entah mengapa, saya sendiri tidak mampu merasainya. Tawar. Lesu.
Beberapa minggu yang lepas, kami warga Sheffield dikejutkan dengan berita yang kurang enak. Lagi kedengaran berita sahabat kami yang jatuh sakit.
Biarlah saya namakan si pesakit sebagai Kak Siti. Bermula dengan simptom batuk-batuk, selesema, lemah badan, sakit kepala dan kemudiannya dikatakan anaemia.Terbaru, dia dimasukkan ke Royal Halamshire Hospital dan hingga ke hari ini, sudah mencecah sebulan Kak Siti berada di situ
Kelas saya yang bertempat di Royal Halamshire Hospital memberikan saya peluang untuk mengunjunginya sekerap mungkin. Kak Siti amat suka jika saya datang untuk bercerita, kadangkala kami melakukan tilawah dan tadabbur (TnT) bersama-sama. Kak Siti amat gemarkan cerita-cerita motivasi yang saya ambil daripada buku kesayangan saya- tulisan Dr. Aidh Abdullah Al Qarni, "Jangan Bersedih- Jadilah Wanita yang Paling Bahagia".
Buku itu ada sejarahnya yang tersendiri. Beberapa minggu sebelum penerbangan saya ke bumi peti ais United Kingdom, saya menghadiahkan buku itu kepada rakan saya yang diuji oleh Allah dengan Systemic Lupus Erythematosus (SLE).
Gara-gara penyakitnya itu, dia kini masih tabah meneruskan pengajiannya di Malaysia sedangkan hampir dua tahun mempersiapkan diri untuk ke luar negara di Kolej MARA Banting. Itulah perancangan Allah yang lebih arif akan nasib hamba-hambanya. Kasih sayang yang bertaut membawa saya untuk menghadiahinya buku peneman duka dan lara saya ketika bergelumang dengan pelbagai onak cabaran di bumi bertuah Banting. Karangan yang ditintakan oleh penulis hebat itu benar-benar mencengkam jiwa tatkala dibaca ketika hati dirundung awan mendung. Masakan tidak, penulisannya digarap dengan inti pati keindahan ayat pujukan daripada Al Quran.
Buku itulah menjadi pemujuk setia ketika masih berdiri dalam bahtera perjuangan di kolej persediaan hampir 2 tahun lalu. Namun, saya tidak betah meneruskan langkahan tanpa buku kesayangan saya itu di sisi. Lalu, senashkah buku lagi dibeli untuk dibawa ke tanah UK ini. Hari ini, sekali lagi menyaksikan keindahan motivasi daripada Al Quran digunakan untuk menyentuh jiwa sedang berduka.
Lamuan lama andar . Buat seketika, saya termenung melihat gumpalan halus salju putih turun melintasi tingkap kaca kamar hospital.
Hati mata tidak tersayat melihat penderitaan gadis muda pertengahan 20-an ini apabila tubuh lemah ini seringkali diusung dan diuji dengan berbagai-bagai test, namun seringkali menemui jalan buntu. Sebutkan sahaja- liver biopsy, bone marrow biopsy, MRI, CT- scan, Pet scan dan berbagai-bagai lagi, sayang sekali doktor masih belum mampu memberikan kata dua.
Kadangkala apabila bergelar pelajar perubatan, lebih banyak yang dipelajari, lebih banyak yang dirisaukan. Melihat simptom-simptom yang dideritainya dan ujian-ujian yang dilaluinya kadangkala membisikkan sesuatu yang menakutkan saya. Astaghfirullah..saya buang jauh-jauh bisikan itu. Ya Allah, jauhkan dia daripada sangkaan itu.
Melihat ubat-ubatan yang terpaksa ditelan saban hari, sungguh melemaskan mata yang memandang.
Terlalu banyak.
Sama banyak dengan air mata yang tumpah.
Atau saya kira, air mata itu lebih lebat membasahi mata.
Tatkala saya sedang menyapu lotion pelembap pada tubuhnya, saya curi-curi merenung dalam-dalam wajah lesunya. Tiba-tiba entah mengapa mata layunya itu menangkap pandangan anak mata saya.
Lalu pandangan kami bertaut.Lama.
Perlahan-lahan, bibirnya yang pucat mengukir senyuman lemah. Seraya, matanya mula menampakkan kaca-kaca halus. Tidak semena-mena, mata yang berkaca itu pecah berderai.Tentu sekali serpihan kaca itu tidak segan-segan menusuk kejam ke lubuk hati. Lalu, menghasilkan luka yang tidak terbendung sakitnya.
Saya mendekati wajahnya. Merapatkan diri ke corong telinganya.
"Kak..janganlah macam ni..Akak tahu tak bila sakit ni kan...Allah nak bagi peluang pada akak untuk banyak-banyak bertaubat..minta ampun dengan Allah, zikir banyak-banyak. Memang waktu kita sakit, kita akan sedih dan akan menangis. Tapi kan kak, kita tak boleh selalu sangat menangis. Takut-takut nanti kita mudah putus harapan dengan Allah. Jadi, kita kena tukarkan tangisan yang banyak tu kepada zikir dan taubat kepada Allah,ya kak? ujar saya lagi, separuh merayu.
Soalan saya dijawab dengan esakan yang lebih kuat. Allahuakbar, Allah sahaja yang tahu batapa terderanya hati saya mendengar tangisan itu.
"Kak..janganlah macam ni. Mari kita istighfar sama-sama ya? Akak ikut perlahan-lahan ya? "
Petang itu, petang yang cukup sunyi.
..................................................................................................................................................................
Perlukah Berkorban untuk Sebuah Kekuatan?
Hidup ini bukan selalunya manis.
Juga, tidak selalunya terang.
Sepertimana juga sunnatullah yang disusun indah, apabila ada siang, malam pasti akan menyusul.Namun, agak malang jika malam itu tiba-tiba tidak berbintang. Gelap Gelita.
Sepertimana ada sang mentari yang menyinar terang, kadang-kadang sang hujan pula datang bertandang. Namun, agak malang , jika kunjungan hujan menghasilkan bencana banjir.
Malang memang sentiasa tidak berbau.
Menjadi lumrah sebuah perjuangan yang dinamakan kehidupan, ia tidak akan sunyi daripada getir-getir ujian. Kerana ujian itulah yang menjadi pengukur keimanan insan yang bergelar hamba. Kekuatan tidak akan datang secara percuma. Kekuatan punya harga yang amat mahal untuk dibayar. Untuk meraih secebis kekuatan, ia menuntut kepada pengorbanan.
Pengorbanan yang kadangkala menagih tangisan.
Pengorbanan yang kadangkala mampu menyentap akar keimanan.
Pengorbanan yang kadangkala menggigit cengkaman ketaqwaan.
Kehidupan oh kehidupan.....
Mengapa perlu insan berkorban demi mengemis secarik kekuatan?
...............................................................................................................................................................
Jika Engkau masih Hidup...
Mengimbau kenangan lama di sekolah menengah, wajah Allahyarham Pak Man pasti akan menggamit. Sungguhpun beliau hanya seorang kaunselor jemputan yang merentas perjalanan jauh ke ceruk sekolah kami, wajah tegas inilah yang mula mengajar saya erti motivasi diri yang sebenar.Wajah tua inilah yang mengajar saya betapa besarnya peranan motivasi dalam kehidupan seharian. Lebih bermakna lagi, wajah inilah yang mendidik saya betapa luasnya kasih sayang Allah yang tidak putus-putus melimpahkan ujian rahmat sebagai tanda cinta-Nya kepada hambanya.
Bertitik tolak daripada itu, saya mula mencintai bidang membina motivasi dan keyakinan diri.
Saya masih ingat lagi, hanya Allah yang tahu betapa bersyukurnya saya apabila melihat nama sendiri dalam senarai ahlijawatankuasa Guidance and Counselling Club (GNCC) KMB sesi 2006-2007 di board Majlis Perwakilan Pelajar. Sehingga hari ini, saya sendiri tidak tahu bagaimana pemilihan dibuat, namun harus saya akui, saya amat menghargai detik-detik bersama keluarga kecil AJK GNCC ketika itu. Program kem motivasi Islami untuk pelajar sekolah menengah di sekitar Banting dirangka dan dijalankan bersama.
Berlanjutan daripada itu, terhasilnya lagi Kem Eksplorasi Minda Borneo 2008 yang lalu. Walaupun kami tidak lagi berkongsi atap bumbung KMB seperti dahulu untuk menuntut ilmu, namun semangat juang itu masih tetap membara. Suka duka sama-sama dirasa dalam perjalanan untuk membaja benih dakwah dan motivasi islami dalam jiwa generasi adik-adik kami.
Saya secara peribadi, terlalu banyak mengutip mutiara pengalaman sepanjang bernafas dalam arena penganjuran kem motivasi diri. Walaupun ia menuntut kerahan keringat dan pengorbanan wang ringgit dan tenaga, namun semua itu terlalu kerdil jika hendak dibandingkan dengan pengajaran yang di perolehi. Terlalu banyak gelagat insan yang diperhati. Terlalu banyak ibrah yang dipelajari.
Mengimbau kembali sejarah penglibatan saya dalam aktiviti penganjuran kem motivasi diri ini, saya amat berterima kasih kepada Allahyarham Pak Man yang benar-benar menjadi sumber inspirasi. Betapa kepinginnya hati kecil saya untuk menatap wajah Allahyarham Pak Man dan menitipkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kerana beliaulah insan yang mula-mula menguakkan daun pintu untuk saya menyusun langkahan sulung ke jalan ini.
Pak Man ..Oh Pak Man!!..jikalau engkau masih hidup..
........................................................................................................................................................................
Mencintainya....
Sudah menjadi lumrah bagi insan yang menumpang teduh di bumi Tuhan, setiap insan pasti akan merasai ujian.
Merantau jauh di bumi dagang orang memberikan sejuta satu pengalaman yang amat bernilai kepada saya. Mungkin ia tidak sebanyak berbanding insan lain yang lebih lama bertebaran di bumi Tuhan, tetapi pengalaman yang sedikit itulah yang amat bermakna dalam setiap helaan nafas saya.
Dalam menempuh lorong-lorong kehidupan, ia menuntut insan membawa bekalan sebagai penyuluh ketika di jalanan.
Bekalan yang terbaik perlu dipersiapkan. Bekalan yang tidak akan basi di pertengahan jalan. Bekalan yang tidak bisa habis di pertengahan pengembaraan.
Memang kehidupan tidak mudah!
Memang kehidupan itu susah!
Kesakitan, kehilangan, ketakutan, kelaparan, kemiskinan, KEMATIAN. Semua itu sudah menjadi rencah kehidupan.
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (QS. 2:155)
Tetapi, Allah tidak semudah itu meninggalkan hamba-hambanya dalam kesusahan tanpa bimbingan. Telah dihadiahkan-Nya sebuah azimat mukjizat agung.
Azimat yang lebih manis daripada secangkir madu.
Azimat yang lebih lembut daripada sehelai sutera.
Lembut membelai setiap jiwa yang menatapnya. Dingin menyapa setiap jiwa yang membacanya. Aman setiap jiwa yang mengambil ibrah daripadanya.
Itulah Al Quran, sumber motivasi paling mujarab bagi umat Islam.
"Mahasuci Allah yang telah menurunkan Al-Furqan (Al-Qur'an) kepada hamba-Nya, agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam." (Al-Furqan: 1).
"Sesungguhnya Al-Qur'an itu kitab yang mulia. Yang tidak datang kepadanya kebatilan baik dari depan mau pun dari belakangnya, yang diturunkan dari Tuhan yang Mahabijaksana dan Maha Terpuji." (Fushshilat: 41-42).
Al Quran bukan sebarang kitab.
Al Quran itu sumber motivasi yang tak pernah habis digali. Semakin dalam digali, semakin banyak mutiaranya. Malah, susunannya lenggok bicaranya amat menyentuh sanubari. Sungguhpun dibaca saban hari, tidak pula membuahkan rasa jemu. Butiran ceritanya tidak pernah basi ditelan zaman. Tidak seperti bahan bacaan lain seperti buku atau makalah, semakin kerap dibaca,rasa muak pasti akan bertandang.
Namun, untuk menggali mutiara motivasi daripada Al Quran, bukanlah semudah seperti si Pak Tani menggali lubang untuk menanam benih sayuran mahupun buah-buahan. Butiran mutiara motivasi Al Quran terlalu esklusif untuk ditimba, maka ia menuntut kepada CINTA yang tidak pernah putus kunjung tiba.
Mencintai Al Quran bukan seperti mudahnya jatuh cinta si anak remaja.
Mencintai Al Quran memerlukan sekeping jiwa yang ikhlas untuk mencintainya.
Tidak mengapa jika jiwa itu masih berlumut dengan kulat-kulat jahiliyah. Tidak mengapa jika jiwa itu masih terperangkap dengan kebingungan tuntutan dunia.
Jangan pernah takut untuk mencintai Al Quran walau apa jenis kelemahan pun yang masih membelenggu jiwa. Inilah masanya untuk menghalau segala kelesuan lalu menjemput ketenangan abadi bersemayam di dalam pundak hati.
Bukankah Al Quran itu ubat paling mujarab untuk merawat 1001 penyakit jiwa manusia?
“Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku. Masuklah ke dalam surga-Ku”
(QS Al-Fajr [89]:27-30)
.................................................................................................................................
Pulangkan...
Suatu petang Januari 2009,di tetingkap Yahoo messenger..
ukhti A: Assalamualaikum Wani..
iman muslihah: waalaikumsalam wbt.
ukhti A: macam mana nak kawal perasaan sedih? Saya tak dapat berhenti menangis.
iman muslihah: astaghfirullah..kenapa?
ukhti A: datuk saya meninggal jam 1.30 pagi tadi. Ummi saya call. Saya tak boleh terima.Bantu saya Wani..Macam mana nak kuatkan hati? Saya seolah-olah tak redha dia pergi.
Ukhti ini baru sahaja saya kenali di Perhimpunan Musim Sejuk 2008 yang lepas. Secara jujurnya,tidak pun mencapai beberapa minit kami bertegur sapa di sana, namun penangan ukhwah akhawat amat hebat hingga dibawa pulang ke lokaliti sungguhpun masih tidak mengenali hati budi masing-masing.
Kehilangan insan tersayang bukanlah realiti yang mudah untuk ditelan. Otak saya mula ligat berputar, memikirkan apa yang harus saya katakan.
iman muslihah: Baiklah macam ni..Saya bagi analogi, kita fikir sama-sama ya?
Katakan suatu hari, saya berjumpa ukhti. Saya sangat perlu berjumpa dengan ukhti sebab saya mahu meminjam kereta ukhti untuk pulang ke kampung. Saya perlu pulang ke kampung dengan segera sebab ibu saya sakit. Lalu disebabkan ukhti seorang yang baik hati dan mudah bersimpati, maka ukhti pun memberi saya kebenaran untuk meminjam kereta ukhti. Maka, pulanglah saya menjenguk ibu di kampung dan membawanya untuk mendapatkan rawatan. Alhamdulilah, setelah ibu saya sihat, saya pun kembali semula ke bandar dengan perasaan senang hati. Namun, selepas beberapa ketika, ukhti menelefon saya untuk mengambil semula kereta ukhti. Secara jujurnya, saya amat selesa memandu kereta ukhti dan entah mengapa tiba-tiba berasa berat hati untuk memulangkannya.
Jadi, persoalannya di sini..layakkah saya mengatakan "tidak boleh" kepada ukhti apabila ukhti meminta kereta ukhti semula daripada saya?
ukhti A: Tak layak..Wanie mesti kena pulangkan. ..
iman muslihah: Ya! Tepat sekali, kita kena pulangkan..pulangkan dengan hati yang redha kepada pemiliknya!
Perbualan yang singkat dengan seorang kenalan baru dari Middlesborough, tetapi cukup bermakna.Setiap sesuatu di atas bumi ini adalah milik-Nya. Maka, tatkala Dia mengambil semula kepunyaan-Nya, adakah layak kita menghalang dan berasa ralat dengan tindakan-Nya?
...................................................................................................................................................................
Tatkala pena telah terangkat ..Dakwat pun kering..
Jumaat, 6 Februari 2009
2.00 petang.
Havelock Street, Sheffield.
Berbicara tentang kehidupan, kita tidak boleh lari daripada menggandingkannya dengan takdir. Kerana kehidupan dan takdir adalah teman baik. Namun, takdir adalah satu subjek yang sangat kompleks untuk diperdebatkan.
Kerana takdir itu milik Allah. Takdir itu milik Pencipta..Takdir bukan milik manusia hamba.
Petang tadi, saya menelefon Kak Siti. Entah mengapa sepanjang kuliah pagi tadi, jiwa tiba-tiba menjadi kacau.
"Assalamualaikum kak, Kak Siti apa khabar?"
"Waalaikumsalam..akak sihat," kedengaran suara ceria di corong telinga. Tetapi entah mengapa tiada riak lega di hati saya.
"Kak..tiba-tiba rasa rindulah nak jumpa akak. Rasa macam nak datang dan bercerita lagi pada akak," luah saya. Entah mengapa jiwa semakin berdebar.
"Oh..datanglah Wani..akak pun nak dengar cerita Wani. Tapi kan Wani, Wani datanglah dalam masa 3-4 hari ni," .
Sudah! Kacau! Mengapa pula ada syarat untuk datang dalam masa 3-4 hari ni? Jiwa saya mula membentak.
"Kak, apa akak cakap ni? Kenapa 3-4 hari?" saya bingung.
"Oh...akak nanti dah tak berapa sihat lagi lepas tu..nanti akak muntah-muntah..akak akan selalu sakit-sakit, nanti dah tak dapat dengar cerita Wani..," tiba-tiba suaranya yang kedengaran ceria yang dibuat-buat tadi hilang dalam esakan.
"Apa akak cakap ni? Kenapa akak nangis? Kita call akak bukan nak suruh akak nangis," suara saya sudah mula bergetar.Serak.Kolam mata mula menggelegak panas.
"Eh, akak tak nangis lah Wani..akak tengah ketawa ni, akak suka Wani nanti nak datang.." helahnya tidak menjadi. Kedengaran esakan yang semakin meninggi.
" Akak, kenapa ni? Janganlah macam ni.." rayu saya lagi.
"Betullah Wani, akak tengah gembira ni. Doktor dah jumpa penyakit akak dah. Tadi doktor cakap, akak akan kena buat chemoteraphy lepas ni. Akak takut tak kuat nak dengar cerita Wani, so Wani datanglah dalam masa 3-4 hari ni ya?"
"Ya Allah!!! Chemoteraphy?!"
Tiba-tiba suara di corong telefon bertukar tuan.
"Wani, ni Kak Mai. Wani boleh call lain kali? Kak Siti tengah sedih ni. Tak baik pula biarkan dia sedih. Wani call lagi lepas ni ya ?"
"Oh, baiklah Kak Mai. Minta maaf call tersilap waktu," saya mengucapkan salam kepada salah seorang teman Kak Siti yang setia menemaninya.
Saya terkedu. Terduduk mendengarkan berita terbaru.
Entah mengapa tiba-tiba saya seperti mahu memarahi diri sendiri. Saya teringat bahawa suatu ketika saya saya pernah menyangka perkara yang bukan-bukan. Dan hari ini, ia menjadi kenyataan!!
Astaghfirullahal azim..Istighfar Wani..
Sesuatu itu terjadi bukan sebab tindakan manusia, jauh sekali sangkaan rambang manusia. Tidak sama sekali! Sesuatu itu berlaku kerana sudah tertulis di luh mahfuz sana.
Petang itu, menyaksikan tragedi seorang insan hamba yang menyayat jiwa. Saya kaku, lemah tidak bertenaga. Saya relakan air mata mengalir deras semahu-mahunya.
Lagi..satu lagi petang yang amat syahdu di hati saya.
Apabila segala-galanya sudah ditentukan oleh Al Khalik, manusia hamba tidak lagi mampu bersuara.
Tatkala pena terangkat, lalu dakwat pun kering.
Itulah takdir insan hamba bergelar manusia.
cerita hati seorang hamba,
iman muslihah
sheffield
7 Februari 2009/ 12 Safar 1430
No comments:
Post a Comment