Saturday, 7 March 2009

Antara pelik dan berbeza.


Oleh: Halawatul Iman

Pada suatu malam, bertempat di sebuah dorm Dedikasi, aspura Sekolah Menengah Kebangsaan X.

1502

“Aku bengang betullah dengan seorang senior ni, Dol. Tension betul!,” bentak Leman. Turun naik nafasnya menahan marah.

“Apa hal beb? Rilek la..apa tension-tension ni..cool..cool,” jawab Dol tenang, sambil mengeluarkan kepulan asap daripada rongga hidungnya.

“Aku tak puas hati lah kat mamat ni. Dahlah rampas CD Metallica favourite aku, koleksi sepanjang hayat aku tu Dol! Tapi yang buat aku angin satu badan ni,dia siap fire aku dengan ceramah agama dia. Kalau cakap baik-baik, aku boleh tahan lagi. Ni, siap sindir kaw-kaw kat aku, huh!” Leman merengus kasar. Panas betul hatinya.

“Dia cakap apa beb? ” tanya Dol seraya mencapai mangkuk plastik biru, milik Dewan Selera di hujung katil. Lalu sisa puntung rokoknya ditenyeh-tenyeh.

“Dia selamba je cakap aku ni menyusahkan masyarakat,buat malu pelajar Melayu Islam je kat sekolah ni. Kau tahu dia sembur kat aku macam ni, sudah-sudahlah ponteng kelas, dengar lagu rock kapak, bercouple, merokok..buat tambah koleksi dosa je, kau nak kena panggang kat neraka ke?. Siap bagi ayat quran kat aku suruh bertaubat. Berlagak alim betul! Suka hati akulah, yang penting aku nak enjoy!,”

“Pergh, dia cakap macam tu kat kau beb? Memang kurang ajar betul mamat tu. Bajet selalu pergi surau, bodek ustaz , dah cukup bagus lah tu? Diorang tu siapa nak tegur-tegur kita? Apa diorang ingat kita ni tak jahil sangat ke? Aku ni walaupun selalu ponteng surau, tapi aku sembahyang je beb!,” keras suara Dol, membela diri sendiri walaupun dalam kotak fikirannya, dia teringat pagi tadi dia hanya sempat solat subuh gajah.

“Entah, aku tak paham la orang macam tu. Masa bagi tazkirah kat surau, cakap bukan main lebat suruh berakhlak mulia, jaga percakapan. Tapi, bila nak tegur kesalahan kita, mak aih..mulut lancang mengalahkan gangster. Neraka, dosa, azab semua keluar. Diorang ni,dahlah tak nak pandang orang macam kita, lepas tu, bila kita buat salah, nak hentam-hentam pulak,” bentak Leman. Kali ini giliran dia pula menyalakan lighter ke muncung rokoknya.

Tiba-tiba…

Tok..tok..tok..!! Buka pintu ni! Cepat!

Bergegar pintu dorm Dedikasi seketika. Macam nak runtuh pintu itu diketuk gamaknya.

“Eh,siapa tu Dol? Alamak, warden ke? Menyemak betullah orang tua ni!”

“Entah!..Eh, cepat nyorokkan rokok tu!” gesa Dol, pucat lesi wajahnya.

Tidak sempat mereka berganjak, pintu terkuak kuat.

Tiba-tiba wajah Cikgu Jabar tersembul di muka pintu.

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………..

Remaja.

Melalui zaman remaja memang adventerous. Berbagai-bagai perkara ingin dicuba. Pada umur sebeginilah, hormon-hormon biologi mula mencucuk-cucuk keinginan untuk mencuba sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Bagaikan pemburu yang tegar memburu hasil buruan untuk dibawa pulang, begitulah agaknya perumpamaan remaja yang bersungguh-sungguh memburu kebebasan hidup remaja yang hadir cuma sekali.

Kebebasan! Hiburan!

Untuk apa kebebasan dan hiburan itu?

Untuk mendapatkan kerehatan setelah penat melakukan aktiviti seharian.

Itulah dua elemen yang sering diburu oleh kebanyakan remaja, tidak kira bangsa dan agama pada hari ini. Sebagai manusia biasa, sudah menjadi fitrah untuk kita menginginkan seteguk nikmat kebebasan dan hiburan. Masakan tidak, jika robot yang dicipta untuk bekerja pun perlu direhatkan seketika untuk mengelakkan enjin menjadi terlalu panas dan rosak, inikan pula manusia yang dikurniakan hati,akal dan perasaan. Tentu sahaja mereka ingin melakukan sesuatu yang disukai untuk merehatkan diri setelah penat bekerja.

Fitrah keinginan menusia untuk berehat sejajar dengan sunnatullah yang disusun dengan sangat indah:

“Daripada rahmat-Nya, (Allah) menjadikan bagi kamu malam dan siang untuk kamu berehat dan mencari rezeki, mudah-mudahan kamu bersyukur”. (Al Qasas : 73)

Ada juga yang manusia yang mencari sumber kerehatan dengan melakukan aktiviti yang disukainya termasuklah mencari kedamaian melalui hobi muzik, menonton wayang, membeli belah, dan tidak kurangnya mencari kekasih hati!

couple-11




Contoh hiburan yang membawa masyuk dengan ketenangan jiwa?


Manusia memang pelbagai. Justeru tidak hairanlah bilamana dalam memilih jenis hiburan demi mencari secebis ketenangan dan kerehatan, kita akan menemukan variasi yang beraneka dan mungkin juga sesetengahnya dipandang agak pelik oleh segolongan yang lain.

Pelik?

Mari saya bawakan dua contoh mudah.

Contoh satu:

“Bang, Mah pelik betullah tengok anak kita si Leman tu. Lemas tengok biliknya tu bersepah dengan CD rock entah apa-apa, dengan gitar elektriknya lagi. Kadang-kadang Mah ada juga menghendap apa lah yang dibuat dalam bilik, bising betul dengan bunyi gitarnya tu. Abang tahu, dia buat apa masa tu?” rungut Mak Mah kepada si suami.

“Dia buat apa Mah?’ terangkat sedikit kening Pak Salim.

“Dia terkinja-kinja macam orang hilang akal! Tak cukup tu, kepalanya tu habis digoncang-goncangkan ikut rentak muzik. Ya Allah, naik darah Mah dibuatnya bang! Bila Mah sergah dia, kenapa dia buat macam tu, abang tahu, dia jawab apa?” uji Mak Mah lagi.

“Dia kata, rilek lah mak..orang nak berhibur pun tak boleh. Mak tahu apa, inilah cara orang muda sekarang mencari ketenangan. Kita kena feel bila dengar muzik mak, barulah jiwa masyuk. Huh, tenang apa tu, dam dum dam dum bunyi muzik, buat berserabut lagi adalah! Pelik betul saya, bang. Pelik!…” bebel Mak Mah, tegang.

Pak Salim menggeleng-gelengkan kepala.

Contoh dua:

“Eh, Dol tadikan aku nampak Si Azwan kat surau, alaa yang menang tilawah Al Quran hari tu. Budak yang kalau berjalan tu, tunduk je memanjang. Kalau ada awek kat depan, lagilah tunduk, silap-silap boleh langgar tiang” ujar Leman membuka bicara.

“Ha..apasal dengan dia?”

“Aku nampak dia sorang-sorang dalam surau tadi. Dia menangis masa baca Al Quran dowh! Pelik betul aku!” ucap Leman sambil mengurut-ngurut dagunya.

“Ha ah..aku pun pelik dengan mamat ni. Hari tu dia pernah duduk borak-borak dengan aku. Baik juga lah sebenarnya dia tu. Dia tanya aku, apa hobi aku. Aku jawablah muzik rock! Bila aku tanya dia pula, dia cakap dia suka dengar dan baca Al Quran. Dia kata best baca Al Quran, hiburan untuk dia. Tapi iya-iya je dia tu. Ye lah, macam mana pula baca Al Quran boleh masyuk? Dah lah bahasa Arab, bukannya faham pun. Lainlah rock, kena penangan head banging..hui..memang layan lah..” tukas Dol.

“Betul tu! Memang pelik, ada ke baca Quran boleh masyuk…Pelik bin ajaib!..”,sokong Leman.

……………………………………………………………………………………………………………………………………

Variasi

Sewaktu kecil, saya dan adik gemar menonton filem fiksyen dan aksi, terutama lakonan pelakon Arnold Schwarnegger. Filem yang masih segar dalam ingatan saya adalah berkaitan dengan pengklonan manusia- The Sixth Day. Ketika itu, baru pertama kali saya mengetahui tentang isu pengklonan dan ia benar-benar menarik perhatian saya.

Maha suci Allah yang menciptakan manusia yang mempunyai variasi bukan sahaja dari segi paras rupa, malah pemikiran, tabiat dan sebagainya. Saya kira, usaha manusia untuk mencipta manusia melalui apa jua cara termasuk pengklonan adalah sesuatu yang mustahil. Mungkin, dengan pengaplikasian teknologi, manusia mampu menghasilkan individu lain yang mempunyai paras rupa yang sama, namun tidak pada akal dan hati manusia itu. Masakan tidak, akal dan hati dipegang oleh Allah.

TIDAK..dan TIDAK mungkin manusia mampu melangkaui kehebatan Al Khalik.

Semakin menginjak dewasa, saya acapkali memikirkan tentang penciptaan manusia yang mempunyai pelbagai tabiat yang unik. Kadangkala mungkin sukar untuk difahami oleh segolongan yang lain. Sepertimana dua contoh yang saya berikan di atas, Dol, Leman dan Azwan adalah golongan remaja yang sebaya. Namun, masing-masing punya minat yang sangat berbeza. Malah, ideologi dan kefahaman mereka tentang hiburan juga amat jauh senggangnya.

Dalam meniti usia remaja, ruang lingkup “circle of friends” saya semakin lama semakin besar. Saya mengenali lebih ramai manusia yang mempunyai variasi dalam perlakuan dan pemikiran. Jujur saya katakan, sebelum ini ketika di sekolah atau kolej persediaan, saya lebih banyak dikelilingi oleh rakan-rakan yang dilabel “budak alim-alim/bertudung labuh/orang surau dan sebagainya” .

Namun, realiti kehidupan yang sebenar menuntut saya untuk berurusan dengan pelbagai manusia yang dikurniakan pemikiran dan latar belakang yang sangat berbeza. Sepanjang saya mengenali mereka, saya menemukan beraneka ‘ibrah yang perlu saya pelajari sebagai bekalan untuk misi membawa diri sendiri dan insan lain kepada Tuhan.Ketika inilah saya cuba menelaah kelakuan manusia dan mengkaji kecenderungan yang mencorakkan kehidupan manusia pada hari ini.

“Wahai manusia sesungguhnya kami (Allah) telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan” .(Al hujurat : 13)

Bertitik tolak pada kepelbagaian penciptaan manusia dalam surah Al Hujurat :13, maka secara automatiknya masyarakat manusia dituntut untuk saling mengenali antara satu sama lain untuk membuahkan kefahaman tentang tabiat dan sifat manusia lain. Kefahaman terhadap manusia lain yang dilakukan secara ikhlas akhirnya akan menerbitkan bibit-bibit kasih sayang dan rasa kepedulian.

…………………………………………………………………………………………………………………………….

Jalan Pintas

Dalam diari kembara seorang pendakwah, proses pendidikan jiwa menuntut kesungguhan yang berpanjangan kerana ia melibatkan pengacuan jiwa, rohani dan nilai (in put) untuk menghasilkan tabiat/perlakuan (out put). Disebabkan proses mengadunkan ramuan jiwa, rohani dan nilai agak abstrak dan sukar, maka tidak hairanlah jika ada di kalangan para daie yang hilang sabar dan mengambil jalan pintas untuk mencapai misi amar makruf nahi munkar . Jalan pintas yang kadangkala melanggar etika kod hormat, kasih sayang dan kemanusiaan yang menjadi fitrah penciptaan manusia.

“Hey! Korang ni tak sedar tak couple ni dosa besar? Dah gatal sangat ke hah? Kau tahu tak couple ni dah nak dekat dengan zina ! Apa korang nak buat kerja terkutuk zina tu?” marah seorang pengawas sekolah kepada beberapa orang pelajar.

“Ni semua korang punya pasal.Suka-suka hati buat dosa, lepas tu bawa bencana pada orang lain! Kau tahu tak seorang buat dosa bila-bila masa je Allah boleh turunkan bala pada semua orang. Kau ingat konsert-konsert ni boleh bawa pergi kubur ke?,” sindir seorang senior kepada juniornya.

Jalan pintas memang mudah. Semua orang mahukan jalan yang mudah untuk berjaya. Namun, pada hakikatnya sangat sidikit kejayaan yang mampu digapai melalui jalan pintas. Penciptaan sebiji mentol oleh Thomas Edison pada hari ini menyaksikan beribu-ribu eksperimen telah dijalankan.

Itu, penciptaan sebiji mentol. Bagaimana pula pembentukan dan tarbiyah jiwa dan rohani seorang manusia?

Tentu sekali ia menuntut kesabaran, kesungguhan dan logika pemikiran dalam berhadapan tabiat kemanusiaan manusia. Manusia dicipta dengan kepelbagaian, maka untuk menghadapi manusia yang pelbagai, ia memerlukan strategi yang juga pelbagai. Namun, walau apapun strategi yang dirancang, ia mesti direncanakan mengikut norma tatakemanusiaan.

Kerana pendakwah sedang berurusan dengan manusia, maka etika kemanusiaan perlu dijaga.Apabila pendakwah tidak menjaga kemanusiaan manusia, ini bermakna dia telah melanggar sehimpun sunnatullah aturan-Nya.

Dakwah dan tarbiyah bukan hanya berkisar kepada tanggungjawab untuk melepaskan diri ketika dipersoal di akhirat kelak, tetapi ia menagih keiklasan, kesederhanaan, kesungguhan, kepedulian dan kejujuran. Untuk berdakwah, pendakwah bukan sahaja perlu mengenal Tuhan, pendakwah perlu mengenali manusia. Mesej dakwahnya mesti rabbani, pendekatannya mesti manusiawi.

…………………………………………………………………………………………………………………………………………

Tuaian buah kesabaran yang manis.

Saya masih teringat ketika saat saya mula-mula memegang usrah seawal saya melangkah ke tahun dua. Saya amati setiap seorang mad’u yang rata-ratanya lebih tua daripada saya. Berdebar rasanya apabila berhadapan dengan orang yang lebih awal makan garam daripada saya. Saya akui, ketika saya membuat persediaan untuk usrah buat kali pertama, bermacam-macam persediaan saya lakukan. Untuk sesi tilawah dan tadabbur sahaja, saya mengambil masa yang lama untuk menggali isi-isi Al Quran berpandukan rujukan dan memerah otak untuk menyampaikan perkongsian dalam konteks yang lebih segar dan bernas.Mengapa saya begitu nervous? Kerana saya berhadapan dengan mad’u yang lebih matang dan mempunyai sejarah tersendiri yang perlu saya fahami dan dekati dengan cara tertentu.

Kadangkala, rasa cemas tidak segan-segan datang mencucuk tatkala saya mengenangkan betapa mad’u saya kali ini mempunyai pemikiran yang kritis dan sangat responsif. Jujur saya katakan, jika hendak saya bandingkan kapasiti persediaan pengisian yang akan saya persembahkan untuk mad’u saya, kapasiti persediaan untuk golongan kakak-kakak ini melebihi berganda-ganda daripada adik-adik. Bukan untuk memandang rendah terhadap tahap penerimaan adik-adik, tetapi pengalaman lalu banyak mengajar saya selok belok psikologi penerimaan golongan adik-adik berbanding golongan kakak-kakak.

  • People don't care how much you know until they know how much you care
  • People don’t care how much you know, until they know how much you care.

    Malah, melihat latar belakang mad’u saya kali ini , mengheret saya untuk cuba mempelajari selok belok lorong-lorong kemanusiaan yang belum pernah saya terokai. Ada yang datang daripada situasi A, ada pula berasal daripada latar belakang situasi B. Ada pula yang pernah melalui situasi B, tetapi kini berada dalam kelompok situasi A.

    Memang unik, masyaalah! Keunikan ini akhirnya membawa saya melalui satu fasa kehidupan yang memberikan warna baru dalam hidup saya. Memang kadang kala keunikan yang pelbagai ini menemukan sedikit cabaran dan kesulitan, namun inilah kehidupan! Kehidupan yang mengajar hakikat menjadi seorang insan di bumi Tuhan.

    Kadangkala dalam misi menyampaikan content dakwah, akan ada situasi di mana kita akan berhadapan dengan persimpangan dilema. Dilema yang menyaksikan kita terpaksa memilih antara hablu minallah dan hablu minannas. Namun, pendakwah yang bijak akan mengadunkan kedua-dua “ramuan” ini dalam satu mangkuk adunan dan mencanai adunan dengan cermat. Kemudian adunan tersebut dibentuk dengan cantik dan dibakar dengan “suhu” yang sesuai untuk menghasilkan satu hidangan “peringatan” yang mapan dan berkesan.

    …………………………………………………………………………………………………………………………………………….

    Pejam celik-pejam celik, masa pantas berlalu. Tidak lama lagi, semester akan menghampiri penghujungnya. Salah seorang anak usrah saya akan pulang ke Malaysia dan kehilangannya pasti akan dirasai oleh seluruh ahli “keluarga” kami. Maha suci Allah, pada hari pertama kami bertemu, tiada sesiapa yang menjangka hubungan kasih sayang yang dibina pada hari ini bermula dengan jurang perbezaan yang amat ketara.

    Namun, siapa kata latar belakang yang berbeza tidak mampu menyatukan hati-hati manusia yang sebenarnya dahagakan sentuhan kerohanian dan juga penghormatan sebagai manusia biasa?

    Hujung minggu lepas menyaksikan air mata saya begitu murah mengalir. Buat pertama kalinya saya menyaksikan penyatuan hati-hati yang sungguh erat . Secara jujurnya, saya menyaksikan penyatuan hati itu sedikit demi sedikit membungakan nilai-nilai pendidikan jiwa dan amal yang dibentuk tanpa dipaksa-paksa. Tidak dinafikan, proses penanaman nilai ini mengambil masa yang sangat lama dan kesabaran yang sangat tinggi, namun hanya Allah yang tahu nikmatnya kemanisan tatkala menjamah hasil tuaian kesabaran.

    “Wanie..janganlah nangis lagi. Kenapalah terharu sangat ni.Tahu tak malam tadi kan kitorang karaoke lagu nasyid kat youtube! Ye lah, sebelum ni Nana, mana tahu nasyid-nasyid ni. Dibah tunjukkan Nana banyak lagi nasyid. Banyaklah lagu pasal Rasulullah..sirah yang Wanie ajar masa usrah tu. Eh, nak tahu tak Wanie, setelah menyanyi bersama-sama, kami mendapati kami berpotensi melahirkan album. Dah boleh dah kalahkan Wanie! Hahahha..!!, usik salah seorang anak usrah saya yang cuba menghentikan sendu saya melalui corong telefon pada hari itu. Entah mengapa saya begitu tersentuh, hanya Allah sahaja yang tahu.

    Mungkin bagi sesetengah orang, apalah sangat dengan amalan membaca Al Quran semuka setiap hari atau beristighfar sebelum tidur, atau solat jemaah sekali sehari atau mengehadkan pergaulan dengan rakan lelaki atau hatta menukar alternatif minum kopi di Starbuck kepada Costa Coffee sekali pun!. Mungkin perubahan amalan yang minimum seperti ini hanya dipandang enteng oleh kebanyakan kita. Namun, bagi individu itu sendiri, ia menuntut seribu satu kesungguhan dan kepayahan untuk bangkit daripada kejatuhan yang memeritkan. Biarpun perubahan yang dilakukan itu sedikit, namun dia berhak mendapat penghargaan yang berupa kepedulian dan kasih sayang.

    People don’t care how much you know, until they know how much you care.

    12 Rabiul awal hanya berbaki beberapa hari lagi. Moga ulang tahun kelahiran Rasulullah pada tahun ini mampu membawa kita menelusuri sirah perjalanan kehidupan dakwah baginda dan mengambil ‘ibrah pendekatan dakwah kemanusiaan dalam usaha menyampai mesej Rabbani yang dipaparkan menerusi qudwah hasanah agung itu.


    Tinta daripada hamba Tuhan,

    iman muslihah

    10 Rabiul Awal 1430

    Sheffield, UK.

    Sunday, 22 February 2009

    Ummahatus Sheffiely





    Tahniah buat kumpulan nasyid Ummahatus Shefily diatas anugerah Best Performance award untuk Pertandingan Nasyid NISE 2009 di Leeds baru-baru ini..

    Mereka telah menyanyikan lagu Untukmu Palestin dan juga My mother...sangat berkorbar2...dan solo buat My Mother adalah Safiyyah, anak kak Nita...

    Tahniah juga buat group nasyid Undergrad drp Sheffield...tahniah atas participation anda..

    Moga dengan ini menyemarakkan lagi dakwah di Sheffield, inshaAllah!

    Sunday, 8 February 2009

    Pena telah terangkat..Dakwat mulai kering...

    Ahad, 1 Februari 2009

    Royal Halamshire Hospital.


    "Kak, kenapa ni? Kenapa sedih sangat hari ni? Janganlah menangis lagi, " pujuk saya sambil mengusap lembut kepalanya dengan tuala basah. Sesekali dia mengerang kesakitan apabila tuala basah itu menyapa tengkuknya yang membengkak. Hampir seluruh badannya mengalami oedema.

    "Akak sedih Wani...akak sedih sangat.." air mata mengalir deras. Membasahi jari jemari saya.

    Hangat.

    "Akak sakit Wani..akak sakit sangat.."

    Allahuakbar...saya mengetap bibir. Menahan rasa.

    "Kak, tahu tak kenapa akak sakit hmm? Allah pilih akak sebab akak kuat, akak tabah. Akak istimewa. Allah tahu, antara hamba-hamba yang dikasihi-Nya, akak adalah antara hamba-Nya yang paling kuat. Jadi, Dia pilih akak untuk menerima ujian daripada-Nya," .

    Esakan demi esakan mengisi ruang kamar hospital petang itu. Di luar, langit menggugurkan saljunya. Memutihkan halaman bumi. Ahh..kedinginan di luar sama dinginnya perasaan dalam hati.

    Saya melepaskan keluhan berat.

    Menatap sekujur tubuh yang lemah longlai di hadapan mata bagaikan menyiat-nyiat tangki simpati.Menyentap seluruh jiwa.

    "Kak...janganlah menangis lagi.. Hmm..kak, tudung akak ni macam dah kotor,mari kita tukarkan tudung akak. Hmm..hari ni kita pakai tudung warna pink lembut ni ya? " saya mengeluarkan sehelai tudung daripada begnya.

    Dia mengangguk lemah. Mengesat sisa-sisa tangisan di hujung pelupuk mata.

    "Tapi kan Wani, akak ni busuk sikit..akak belum gosok gigi lagi hari ni, akak malu dekat Wani,"

    "Eh, apa nak malu. Tak apa-tak apa, kita tolong akak bersihkan diri ya? Lepas tu, kita tolong sikatkan rambut akak kemas-kemas dan pakai tudung baru,ok ?" .

    Saya cuba sedaya upaya untuk menghadiahkannya sekuntum senyuman yang paling manis, tetapi entah mengapa, saya sendiri tidak mampu merasainya. Tawar. Lesu.

    Beberapa minggu yang lepas, kami warga Sheffield dikejutkan dengan berita yang kurang enak. Lagi kedengaran berita sahabat kami yang jatuh sakit.

    Biarlah saya namakan si pesakit sebagai Kak Siti. Bermula dengan simptom batuk-batuk, selesema, lemah badan, sakit kepala dan kemudiannya dikatakan anaemia.Terbaru, dia dimasukkan ke Royal Halamshire Hospital dan hingga ke hari ini, sudah mencecah sebulan Kak Siti berada di situ

    Kelas saya yang bertempat di Royal Halamshire Hospital memberikan saya peluang untuk mengunjunginya sekerap mungkin. Kak Siti amat suka jika saya datang untuk bercerita, kadangkala kami melakukan tilawah dan tadabbur (TnT) bersama-sama. Kak Siti amat gemarkan cerita-cerita motivasi yang saya ambil daripada buku kesayangan saya- tulisan Dr. Aidh Abdullah Al Qarni, "Jangan Bersedih- Jadilah Wanita yang Paling Bahagia".

    sdc10544

    Buku itu ada sejarahnya yang tersendiri. Beberapa minggu sebelum penerbangan saya ke bumi peti ais United Kingdom, saya menghadiahkan buku itu kepada rakan saya yang diuji oleh Allah dengan Systemic Lupus Erythematosus (SLE).

    Gara-gara penyakitnya itu, dia kini masih tabah meneruskan pengajiannya di Malaysia sedangkan hampir dua tahun mempersiapkan diri untuk ke luar negara di Kolej MARA Banting. Itulah perancangan Allah yang lebih arif akan nasib hamba-hambanya. Kasih sayang yang bertaut membawa saya untuk menghadiahinya buku peneman duka dan lara saya ketika bergelumang dengan pelbagai onak cabaran di bumi bertuah Banting. Karangan yang ditintakan oleh penulis hebat itu benar-benar mencengkam jiwa tatkala dibaca ketika hati dirundung awan mendung. Masakan tidak, penulisannya digarap dengan inti pati keindahan ayat pujukan daripada Al Quran.

    Buku itulah menjadi pemujuk setia ketika masih berdiri dalam bahtera perjuangan di kolej persediaan hampir 2 tahun lalu. Namun, saya tidak betah meneruskan langkahan tanpa buku kesayangan saya itu di sisi. Lalu, senashkah buku lagi dibeli untuk dibawa ke tanah UK ini. Hari ini, sekali lagi menyaksikan keindahan motivasi daripada Al Quran digunakan untuk menyentuh jiwa sedang berduka.

    Lamuan lama andar . Buat seketika, saya termenung melihat gumpalan halus salju putih turun melintasi tingkap kaca kamar hospital.

    Hati mata tidak tersayat melihat penderitaan gadis muda pertengahan 20-an ini apabila tubuh lemah ini seringkali diusung dan diuji dengan berbagai-bagai test, namun seringkali menemui jalan buntu. Sebutkan sahaja- liver biopsy, bone marrow biopsy, MRI, CT- scan, Pet scan dan berbagai-bagai lagi, sayang sekali doktor masih belum mampu memberikan kata dua.

    Kadangkala apabila bergelar pelajar perubatan, lebih banyak yang dipelajari, lebih banyak yang dirisaukan. Melihat simptom-simptom yang dideritainya dan ujian-ujian yang dilaluinya kadangkala membisikkan sesuatu yang menakutkan saya. Astaghfirullah..saya buang jauh-jauh bisikan itu. Ya Allah, jauhkan dia daripada sangkaan itu.

    Melihat ubat-ubatan yang terpaksa ditelan saban hari, sungguh melemaskan mata yang memandang.

    Terlalu banyak.

    Sama banyak dengan air mata yang tumpah.

    Atau saya kira, air mata itu lebih lebat membasahi mata.

    Tatkala saya sedang menyapu lotion pelembap pada tubuhnya, saya curi-curi merenung dalam-dalam wajah lesunya. Tiba-tiba entah mengapa mata layunya itu menangkap pandangan anak mata saya.

    Lalu pandangan kami bertaut.Lama.

    Perlahan-lahan, bibirnya yang pucat mengukir senyuman lemah. Seraya, matanya mula menampakkan kaca-kaca halus. Tidak semena-mena, mata yang berkaca itu pecah berderai.Tentu sekali serpihan kaca itu tidak segan-segan menusuk kejam ke lubuk hati. Lalu, menghasilkan luka yang tidak terbendung sakitnya.

    Saya mendekati wajahnya. Merapatkan diri ke corong telinganya.

    "Kak..janganlah macam ni..Akak tahu tak bila sakit ni kan...Allah nak bagi peluang pada akak untuk banyak-banyak bertaubat..minta ampun dengan Allah, zikir banyak-banyak. Memang waktu kita sakit, kita akan sedih dan akan menangis. Tapi kan kak, kita tak boleh selalu sangat menangis. Takut-takut nanti kita mudah putus harapan dengan Allah. Jadi, kita kena tukarkan tangisan yang banyak tu kepada zikir dan taubat kepada Allah,ya kak? ujar saya lagi, separuh merayu.

    Soalan saya dijawab dengan esakan yang lebih kuat. Allahuakbar, Allah sahaja yang tahu batapa terderanya hati saya mendengar tangisan itu.

    "Kak..janganlah macam ni. Mari kita istighfar sama-sama ya? Akak ikut perlahan-lahan ya? "

    Petang itu, petang yang cukup sunyi.

    ..................................................................................................................................................................

    Perlukah Berkorban untuk Sebuah Kekuatan?

    Hidup ini bukan selalunya manis.

    Juga, tidak selalunya terang.

    Sepertimana juga sunnatullah yang disusun indah, apabila ada siang, malam pasti akan menyusul.Namun, agak malang jika malam itu tiba-tiba tidak berbintang. Gelap Gelita.

    Sepertimana ada sang mentari yang menyinar terang, kadang-kadang sang hujan pula datang bertandang. Namun, agak malang , jika kunjungan hujan menghasilkan bencana banjir.

    Malang memang sentiasa tidak berbau.

    Menjadi lumrah sebuah perjuangan yang dinamakan kehidupan, ia tidak akan sunyi daripada getir-getir ujian. Kerana ujian itulah yang menjadi pengukur keimanan insan yang bergelar hamba. Kekuatan tidak akan datang secara percuma. Kekuatan punya harga yang amat mahal untuk dibayar. Untuk meraih secebis kekuatan, ia menuntut kepada pengorbanan.

    Pengorbanan yang kadangkala menagih tangisan.

    Pengorbanan yang kadangkala mampu menyentap akar keimanan.

    Pengorbanan yang kadangkala menggigit cengkaman ketaqwaan.

    Kehidupan oh kehidupan.....

    Mengapa perlu insan berkorban demi mengemis secarik kekuatan?

    ...............................................................................................................................................................

    Jika Engkau masih Hidup...

    Mengimbau kenangan lama di sekolah menengah, wajah Allahyarham Pak Man pasti akan menggamit. Sungguhpun beliau hanya seorang kaunselor jemputan yang merentas perjalanan jauh ke ceruk sekolah kami, wajah tegas inilah yang mula mengajar saya erti motivasi diri yang sebenar.Wajah tua inilah yang mengajar saya betapa besarnya peranan motivasi dalam kehidupan seharian. Lebih bermakna lagi, wajah inilah yang mendidik saya betapa luasnya kasih sayang Allah yang tidak putus-putus melimpahkan ujian rahmat sebagai tanda cinta-Nya kepada hambanya.

    Bertitik tolak daripada itu, saya mula mencintai bidang membina motivasi dan keyakinan diri.

    Guidance and Counselling Club, KMB.
    Guidance and Counselling Club, KMB.

    Saya masih ingat lagi, hanya Allah yang tahu betapa bersyukurnya saya apabila melihat nama sendiri dalam senarai ahlijawatankuasa Guidance and Counselling Club (GNCC) KMB sesi 2006-2007 di board Majlis Perwakilan Pelajar. Sehingga hari ini, saya sendiri tidak tahu bagaimana pemilihan dibuat, namun harus saya akui, saya amat menghargai detik-detik bersama keluarga kecil AJK GNCC ketika itu. Program kem motivasi Islami untuk pelajar sekolah menengah di sekitar Banting dirangka dan dijalankan bersama.

    Berlanjutan daripada itu, terhasilnya lagi Kem Eksplorasi Minda Borneo 2008 yang lalu. Walaupun kami tidak lagi berkongsi atap bumbung KMB seperti dahulu untuk menuntut ilmu, namun semangat juang itu masih tetap membara. Suka duka sama-sama dirasa dalam perjalanan untuk membaja benih dakwah dan motivasi islami dalam jiwa generasi adik-adik kami.

    kemeksplorasiminda1

    Saya secara peribadi, terlalu banyak mengutip mutiara pengalaman sepanjang bernafas dalam arena penganjuran kem motivasi diri. Walaupun ia menuntut kerahan keringat dan pengorbanan wang ringgit dan tenaga, namun semua itu terlalu kerdil jika hendak dibandingkan dengan pengajaran yang di perolehi. Terlalu banyak gelagat insan yang diperhati. Terlalu banyak ibrah yang dipelajari.

    Mengimbau kembali sejarah penglibatan saya dalam aktiviti penganjuran kem motivasi diri ini, saya amat berterima kasih kepada Allahyarham Pak Man yang benar-benar menjadi sumber inspirasi. Betapa kepinginnya hati kecil saya untuk menatap wajah Allahyarham Pak Man dan menitipkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kerana beliaulah insan yang mula-mula menguakkan daun pintu untuk saya menyusun langkahan sulung ke jalan ini.

    Pak Man ..Oh Pak Man!!..jikalau engkau masih hidup..

    ........................................................................................................................................................................

    Mencintainya....

    Sudah menjadi lumrah bagi insan yang menumpang teduh di bumi Tuhan, setiap insan pasti akan merasai ujian.

    Merantau jauh di bumi dagang orang memberikan sejuta satu pengalaman yang amat bernilai kepada saya. Mungkin ia tidak sebanyak berbanding insan lain yang lebih lama bertebaran di bumi Tuhan, tetapi pengalaman yang sedikit itulah yang amat bermakna dalam setiap helaan nafas saya.

    Dalam menempuh lorong-lorong kehidupan, ia menuntut insan membawa bekalan sebagai penyuluh ketika di jalanan.

    Bekalan yang terbaik perlu dipersiapkan. Bekalan yang tidak akan basi di pertengahan jalan. Bekalan yang tidak bisa habis di pertengahan pengembaraan.

    Memang kehidupan tidak mudah!

    Memang kehidupan itu susah!

    Kesakitan, kehilangan, ketakutan, kelaparan, kemiskinan, KEMATIAN. Semua itu sudah menjadi rencah kehidupan.

    وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

    Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (QS. 2:155)

    Tetapi, Allah tidak semudah itu meninggalkan hamba-hambanya dalam kesusahan tanpa bimbingan. Telah dihadiahkan-Nya sebuah azimat mukjizat agung.

    Azimat yang lebih manis daripada secangkir madu.

    Azimat yang lebih lembut daripada sehelai sutera.

    Lembut membelai setiap jiwa yang menatapnya. Dingin menyapa setiap jiwa yang membacanya. Aman setiap jiwa yang mengambil ibrah daripadanya.

    Itulah Al Quran, sumber motivasi paling mujarab bagi umat Islam.

    Selembut sentuhanmu
    Selembut sentuhanmu

    "Mahasuci Allah yang telah menurunkan Al-Furqan (Al-Qur'an) kepada hamba-Nya, agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam." (Al-Furqan: 1).

    "Sesungguhnya Al-Qur'an itu kitab yang mulia. Yang tidak datang kepadanya kebatilan baik dari depan mau pun dari belakangnya, yang diturunkan dari Tuhan yang Mahabijaksana dan Maha Terpuji." (Fushshilat: 41-42).

    Al Quran bukan sebarang kitab.

    Al Quran itu sumber motivasi yang tak pernah habis digali. Semakin dalam digali, semakin banyak mutiaranya. Malah, susunannya lenggok bicaranya amat menyentuh sanubari. Sungguhpun dibaca saban hari, tidak pula membuahkan rasa jemu. Butiran ceritanya tidak pernah basi ditelan zaman. Tidak seperti bahan bacaan lain seperti buku atau makalah, semakin kerap dibaca,rasa muak pasti akan bertandang.

    Namun, untuk menggali mutiara motivasi daripada Al Quran, bukanlah semudah seperti si Pak Tani menggali lubang untuk menanam benih sayuran mahupun buah-buahan. Butiran mutiara motivasi Al Quran terlalu esklusif untuk ditimba, maka ia menuntut kepada CINTA yang tidak pernah putus kunjung tiba.

    Mencintai Al Quran bukan seperti mudahnya jatuh cinta si anak remaja.

    Mencintai Al Quran memerlukan sekeping jiwa yang ikhlas untuk mencintainya.

    Tidak mengapa jika jiwa itu masih berlumut dengan kulat-kulat jahiliyah. Tidak mengapa jika jiwa itu masih terperangkap dengan kebingungan tuntutan dunia.

    Jangan pernah takut untuk mencintai Al Quran walau apa jenis kelemahan pun yang masih membelenggu jiwa. Inilah masanya untuk menghalau segala kelesuan lalu menjemput ketenangan abadi bersemayam di dalam pundak hati.

    Bukankah Al Quran itu ubat paling mujarab untuk merawat 1001 penyakit jiwa manusia?

    يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ {27}
    ارْجِعِي إِلَى رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً {28}
    فَادْخُلِي فِي عِبَادِي {29}
    وَادْخُلِي جَنَّتِي {30}

    “Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku. Masuklah ke dalam surga-Ku”

    (QS Al-Fajr [89]:27-30)

    .................................................................................................................................

    Pulangkan...

    Suatu petang Januari 2009,di tetingkap Yahoo messenger..

    ukhti A: Assalamualaikum Wani..

    iman muslihah: waalaikumsalam wbt.

    ukhti A: macam mana nak kawal perasaan sedih? Saya tak dapat berhenti menangis.

    iman muslihah: astaghfirullah..kenapa?

    ukhti A: datuk saya meninggal jam 1.30 pagi tadi. Ummi saya call. Saya tak boleh terima.Bantu saya Wani..Macam mana nak kuatkan hati? Saya seolah-olah tak redha dia pergi.

    Ukhti ini baru sahaja saya kenali di Perhimpunan Musim Sejuk 2008 yang lepas. Secara jujurnya,tidak pun mencapai beberapa minit kami bertegur sapa di sana, namun penangan ukhwah akhawat amat hebat hingga dibawa pulang ke lokaliti sungguhpun masih tidak mengenali hati budi masing-masing.

    Kehilangan insan tersayang bukanlah realiti yang mudah untuk ditelan. Otak saya mula ligat berputar, memikirkan apa yang harus saya katakan.

    iman muslihah: Baiklah macam ni..Saya bagi analogi, kita fikir sama-sama ya?

    Katakan suatu hari, saya berjumpa ukhti. Saya sangat perlu berjumpa dengan ukhti sebab saya mahu meminjam kereta ukhti untuk pulang ke kampung. Saya perlu pulang ke kampung dengan segera sebab ibu saya sakit. Lalu disebabkan ukhti seorang yang baik hati dan mudah bersimpati, maka ukhti pun memberi saya kebenaran untuk meminjam kereta ukhti. Maka, pulanglah saya menjenguk ibu di kampung dan membawanya untuk mendapatkan rawatan. Alhamdulilah, setelah ibu saya sihat, saya pun kembali semula ke bandar dengan perasaan senang hati. Namun, selepas beberapa ketika, ukhti menelefon saya untuk mengambil semula kereta ukhti. Secara jujurnya, saya amat selesa memandu kereta ukhti dan entah mengapa tiba-tiba berasa berat hati untuk memulangkannya.

    Jadi, persoalannya di sini..layakkah saya mengatakan "tidak boleh" kepada ukhti apabila ukhti meminta kereta ukhti semula daripada saya?

    ukhti A: Tak layak..Wanie mesti kena pulangkan. ..

    iman muslihah: Ya! Tepat sekali, kita kena pulangkan..pulangkan dengan hati yang redha kepada pemiliknya!

    Perbualan yang singkat dengan seorang kenalan baru dari Middlesborough, tetapi cukup bermakna.Setiap sesuatu di atas bumi ini adalah milik-Nya. Maka, tatkala Dia mengambil semula kepunyaan-Nya, adakah layak kita menghalang dan berasa ralat dengan tindakan-Nya?

    ...................................................................................................................................................................

    Tatkala pena telah terangkat ..Dakwat pun kering..

    Jumaat, 6 Februari 2009

    2.00 petang.

    Havelock Street, Sheffield.

    Berbicara tentang kehidupan, kita tidak boleh lari daripada menggandingkannya dengan takdir. Kerana kehidupan dan takdir adalah teman baik. Namun, takdir adalah satu subjek yang sangat kompleks untuk diperdebatkan.

    Kerana takdir itu milik Allah. Takdir itu milik Pencipta..Takdir bukan milik manusia hamba.

    Petang tadi, saya menelefon Kak Siti. Entah mengapa sepanjang kuliah pagi tadi, jiwa tiba-tiba menjadi kacau.

    "Assalamualaikum kak, Kak Siti apa khabar?"

    "Waalaikumsalam..akak sihat," kedengaran suara ceria di corong telinga. Tetapi entah mengapa tiada riak lega di hati saya.

    "Kak..tiba-tiba rasa rindulah nak jumpa akak. Rasa macam nak datang dan bercerita lagi pada akak," luah saya. Entah mengapa jiwa semakin berdebar.

    "Oh..datanglah Wani..akak pun nak dengar cerita Wani. Tapi kan Wani, Wani datanglah dalam masa 3-4 hari ni," .

    Sudah! Kacau! Mengapa pula ada syarat untuk datang dalam masa 3-4 hari ni? Jiwa saya mula membentak.

    "Kak, apa akak cakap ni? Kenapa 3-4 hari?" saya bingung.

    "Oh...akak nanti dah tak berapa sihat lagi lepas tu..nanti akak muntah-muntah..akak akan selalu sakit-sakit, nanti dah tak dapat dengar cerita Wani..," tiba-tiba suaranya yang kedengaran ceria yang dibuat-buat tadi hilang dalam esakan.

    "Apa akak cakap ni? Kenapa akak nangis? Kita call akak bukan nak suruh akak nangis," suara saya sudah mula bergetar.Serak.Kolam mata mula menggelegak panas.

    "Eh, akak tak nangis lah Wani..akak tengah ketawa ni, akak suka Wani nanti nak datang.." helahnya tidak menjadi. Kedengaran esakan yang semakin meninggi.

    " Akak, kenapa ni? Janganlah macam ni.." rayu saya lagi.

    "Betullah Wani, akak tengah gembira ni. Doktor dah jumpa penyakit akak dah. Tadi doktor cakap, akak akan kena buat chemoteraphy lepas ni. Akak takut tak kuat nak dengar cerita Wani, so Wani datanglah dalam masa 3-4 hari ni ya?"

    "Ya Allah!!! Chemoteraphy?!"

    Tiba-tiba suara di corong telefon bertukar tuan.

    "Wani, ni Kak Mai. Wani boleh call lain kali? Kak Siti tengah sedih ni. Tak baik pula biarkan dia sedih. Wani call lagi lepas ni ya ?"

    "Oh, baiklah Kak Mai. Minta maaf call tersilap waktu," saya mengucapkan salam kepada salah seorang teman Kak Siti yang setia menemaninya.

    Saya terkedu. Terduduk mendengarkan berita terbaru.

    Entah mengapa tiba-tiba saya seperti mahu memarahi diri sendiri. Saya teringat bahawa suatu ketika saya saya pernah menyangka perkara yang bukan-bukan. Dan hari ini, ia menjadi kenyataan!!

    Astaghfirullahal azim..Istighfar Wani..

    Sesuatu itu terjadi bukan sebab tindakan manusia, jauh sekali sangkaan rambang manusia. Tidak sama sekali! Sesuatu itu berlaku kerana sudah tertulis di luh mahfuz sana.

    Petang itu, menyaksikan tragedi seorang insan hamba yang menyayat jiwa. Saya kaku, lemah tidak bertenaga. Saya relakan air mata mengalir deras semahu-mahunya.

    Lagi..satu lagi petang yang amat syahdu di hati saya.

    Apabila segala-galanya sudah ditentukan oleh Al Khalik, manusia hamba tidak lagi mampu bersuara.

    Tatkala pena terangkat, lalu dakwat pun kering.

    Itulah takdir insan hamba bergelar manusia.

    cerita hati seorang hamba,

    iman muslihah

    sheffield

    7 Februari 2009/ 12 Safar 1430

    http://halawatuliman.wordpress.com/

    Tuesday, 3 February 2009

    Akhlak part 1

    Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih,

    Alhamdulillah ..alhamdulillah..alhamdulillah..

    Dua hari lepas dengar kuliah dalam satu program...tajuknya simple dan selalu pun didengar dan belajar sejak dari sekolah rendah lagi. Tetapi saya rasa itulah yang sukar diamalkan iaitu tentang akhlak Islam.

    Masa program tu...seorang tua yang lembut dan jernih air mukanya berbangsa dan berasal dari Gaza dan telah menetap di bumi UK, membuka bicara tentang akhlak Islam. Akhlak Islam terlalu banyak untuk disenaraikan..meliputi segala-galanya dalam kehidupan manusia.

    Tetapi ada satu cerita yang ia kongsikan...cerita bagaimana sahabatnya memeluk Islam di bumi UK. Bisanya setiap yang memeluk Islam pasti ada cerita disebaliknya tidak kira sama ada mencari, melihat atau mendengar. Cerita sahabatnya ini seorang warga Britain yang hidupnya memang tidak pernah nak ambil tahu dan lagilah nak belajar tentang Islam jauh sekali. Hidupnya seperti orang UK lain..dan juga bukan pengamal Kristian. Tetapi disebelah rumahnya tinggal seorang tua yang berasal dari tanah arab dan beragama Islam. Orang tua ini setiap minggu bila ada lori sampah datang dialah tarik dan tolak tong sampah hijau bukan setakat dia punya tetapi mat saleh ni punya sekali. Selepas tu jika dia bersihkan kawasan rumah dia akan sapukan sekali kawasan rumah mat saleh ni. Begitulah setiap hari, sampai mat saleh ni ingat mesti dia inginkan bayaran. Dan suatu hari mat saleh ni cakap kat orang tua ni berhentilah daripada buat benda-benda ni sebab dia takkan beri apa-apa bayaran. Kemudian orang tua tu cakap..Tidak, aku tidak mengharapkan bayaran..semua ini nabiku yang telah mengajarkan kepadaku supaya membantu 40 jiran di kiri kanan depan belakang, apatah lagi kamu yang jiran disebelah. Kemudian mat saleh itu bertanya siapa nabi kamu? Kemudian lelaki tua berkata nabi Muhammad s.a.w. Maka mulalah titik permulaan lelaki itu mencari dan membaca siapa dia Muhammad dan izin Allah dia memeluk agama Islam.

    Kemudian penceramah terangkan..Islam tersebar di merata Asia (sebabnya kami dari malaysia) bukanlah sebab kerana jihad seperti di tanah arab dan eropah, tetapi Islam tersebar kerana akhlak Islam yang ditunjukkan oleh penganutnya.

    Bila mendengar jer cerita ni ..saya seperti tersedar daripada mimpi, yakin besarnya kesan akhlak ni pada manusia. Besarnya kesan akhlak dan sebenarnya akhlak juga medium untuk berdakwah. Jika kita tidak ada kekuatan untuk berceramah mengajak orang kepada Islam dengan akhlak kita pun boleh mengajak orang kepada Islam sebenarnya. Itupun sebenarnya diperintahkan oleh Allah kepada kita :

    Maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”


    p/s kita adalah duta Islam...jangan sampai kerana akhlak buruk kita kesucian Islam tercemar.

    Friday, 23 January 2009

    Kelmarin, Semalam dan Hari Ini..


    KELMARIN...
    Hujan turun lebat betul.
    Sesekali Sang guruh berdentam dentum.
    Kulihat Sang kilat berkejar-kejaran di langit tinggi.

    1280788-1-rain-day

    KELMARIN...
    Dalam kehujanan itu..
    Kau datang kepadaku..
    Kulihat..
    Wajahmu basah..
    Aku menjadi pilu..

    KELMARIN..
    Satu demi satu kisahmu kauceritakan padaku..
    Kau bercerita lagi..
    Dan lagi..
    Tanpa henti..
    Aku menjadi lebih pilu..

    nature-sadtree_1024x768

    KELMARIN..
    Kau katakan padaku..
    Jiwamu sakit..
    Hatimu sempit..
    Kau mengongoi kesakitan...
    Meratap kesilapan silam..
    Kesilapan yang maha kejam!
    Wahai Engkau!
    Masakan jiwamu tidak sakit?
    Masakan hatimu tidak sempit?
    Apabila kau biarkan Si Pengkhianat JAHILIYAH bebas merempit?!

    ................................................................................................................................................................

    Namun, itu kisah hari KELMARIN.
    Dengar sini..aku nak bercerita kisah hari SEMALAM pula.

    13880blue_sky

    SEMALAM..
    Hujan dah berhenti.
    Sang guruh pun dah tak ada lagi..
    Sang suria pula tersenyum berseri-seri..
    Aku dah tak nampak lagi Sang kilat berlari-lari..

    SEMALAM..
    Kau datang lagi kepadaku..
    Dan lagi..kau bercerita sesuatu...

    SEMALAM...
    Katamu..kau nak jadi orang baru..
    Katamu..kau nak tinggalkan masa lalu..
    Katamu ..kau nak bina hidup baru..

    Katamu lagi..
    Kau nak tangkap Si JAHILIYAH itu..
    Nak sumbat dalam lokap..
    Nak kunci kuat-kuat..
    Tak nak bagi lepas..
    Biar padan muka dia!!

    pd_prison_070627_ms

    Eh Engkau!
    Kau nak tahu?
    SEMALAM..
    Aku dah tak pilu..
    Aku dah tak sayu..
    Sebab aku percaya dengan kata-katamu..
    Yalah..kau kan kawan aku!
    Aku genggam kemas-kemas tanganmu..
    Aku akan cuba yang terbaik untuk membantu..
    Tapi..kau kena janji sesuatu..

    jalan-lurus-jalan-tegak

    Kau kena KUAT!
    Kau kena TABAH!
    Kau jangan mudah tunduk, kawan!

    Sebab untuk berubah bukan mudah!
    Aku akui..nak berubah, memang susah!
    Sebab Si Pengkhianat Jahiliyah memang sengaja mahu jadikan engkau sampah!
    Percayalah!!

    Sebab itu aku benci dia!
    Aku benci JAHILIYAH!
    Jadi, kau jangan cuba-cuba berkawan dengan dia..
    Kau mengerti?

    Perlahan-lahan,kau anggukkan kepala.
    Aku betul-betul lega..

    .................................................................................................................................................................

    Itu kisah SEMALAM..
    Mari aku ceritakan pula kisah hari ini..

    hujan

    HARI INI...
    Kulihat langit..
    Gelap sangat..
    Gelap!
    Sumpah aku tak tipu!

    Tiba-tiba..
    Sang guruh sudah mula berlagu..
    Kunampak di sebalik awan hitam itu..
    Ada bayangan Sang kilat cuba main sembunyi-sembunyi..

    Aku cemas..
    Tidak semena-mena..
    Bayangan wajahmu menerpa di balik retinaku..
    Aku cemas..
    Adakah Sang Jahiliyah - Si Pengkhianat bolos, lalu melarikan diri?
    Dan menghurung dirimu kembali?

    Aku sendiri tak pasti...............................

    jahiliyah

    ...........................................................................................................................................................

    Satu Dedikasi buat Diri dan Teman-teman yang dicintai..

    Buat yang masih teguh memerangi karat jahiliyah yang masih bersarang di hati, teruskan langkahanmu!
    Namun, jika ada yang mula hilang arah tuju..
    Kufaham, bukan mudah untuk memenggal musuh itu..
    Namun, jangan pernah putus asa!
    Teruskan memacu laju kuda perangmu..
    Menuju ke medan jihad itu!
    Menang atau syahid..
    Itu sahaja pilihanmu.


    Iman Muslihah

    Sheffield

    26 Muharram 1430

    Sunday, 18 January 2009

    Ukhuwwah Get ToGether Chaman


    First of all, Alhamdulillah, All praise to Allah yang menjayakan majlis ukhuwwah kita di restoran Chaman baru-baru ini...

    Jazakumullahu khayran kepada semua yg terlibat menjayakannya...moga Ukhuwwah ini akan berkekalan hingga ke syurga ameen...

    Nanti ada2 masa saya update lagi gambar disini...bagi sesiapaa yg tak mahu gambarnye disiarkan , please let me know, i will take it out :)




    Reramai


    Di sini juga saja nak post surat cinta Kak Yati kepada Azie...took it from azie nye blog... menitis air mata azie baca...bila saya baca pun menitis air mata...betapa ikhlasnya kata-kata beliau... saja nak kongsi ngan kawan2 (sila klik pada surat utk membesarkan nye)...sapa2 ada surat cinta yg nak saya paparkan disini please let me know!



    Nasyid Ukhuwwah Fillah buat semua


    Ukhuwah Fillah - Suara Generasi

    Salam sayang buat semua,
    Fadzlin



    Assalamualaikum wr wbt my dearest sisters,

    From the bottom of my heart...

    Thank you for a lovely time,
    Thank you for your laughs and smiles,
    Thank you for your cheerful faces,
    Thank you for your patience and respect,

    Most importantly,
    Thank you for your love and support,
    Thank you for being there..always,
    And..
    Thank you for being somebody..
    That I love just for the sake of Allah....

    Jazakillahu khayran to Kak nita for organizing the occasion, Yati + linda for preparing the lovely frames, Kak Su for the hearfelt tazkirah, Sal for the inspiring doa and all of you for being there....

    For those yg tak berkesempatan join malam tadi, all of us missed u, and inshaAllah hopefully we will meet in the next occasion..

    Ikhlas,
    Fadzlin

    Thursday, 8 January 2009