Sunday, 28 June 2009

Kenapa Saya suka Rumah Saya?


Bismillahirrahmanirrahim.

.

Apa khabar ya sahabat sekalian? Harap sihat iman dan tubuh, insyaallah.

Entah mengapa serasa saya sudah lama saya tidak menintakan buah pena. Maha suci Allah, banyak juga peristiwa yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Namun, setiap sunnatullah yang berlaku pasti mengukir hikmah dan ‘ibrah yang pasti mematangkan manusia. Segala pujian saya panjatkan kepada Allah, alhamdulilah. :-)

………………………………………………………………………………………………………………………….

Rumah Idaman

Subhanallah walhamdulilah wallahuakbar! Insyaalah untuk semester depan saya dan beberapa orang sahabat akhawat akan berganding bahu mengasaskan Rumah Islam (RI) akhawat pertama di Sheffield insyaalah. Cita-cita yang sudah lama saya idam-idamkan sejak dahulu lagi. Tambahan pula, kunjungan saya ke RI akhawat Leeds baru-baru ini benar-benar membakar keinginan untuk membentuk satu bi’ah yang mampu menggerakkan enjin jentera dakwah di lokailiti sendiri.

Oh ya, Rumah Islam yang saya perkatakan ini jangan pula disalah sangka dengan Baitul Muslim. (Lagi pula, saya masih kecetekan ilmu untuk berbicara tentangnya). Mungkin konteksnya lebih kurang, tapi ahlul baitnya tentu sekali berbeza. Jika Baitul Muslim dibina dengan ikatan pernikahan atas objektif menyemarakkan dakwah dan melahirkan zuriat soleh wa musleh, RI pula dibina dengan ikatan hati sama ada sesama ikhwah atau sesama akhawat demi membina kekuatan fardiyah dan ukhuwwah yang berteraskan nilai Islami. Namun, saya percaya bahawa objektif yang paling kritikal dan bersifat jangka masa panjang adalah untuk membina kader-kader Islam yang bakal membawa obor dakwah dan tarbiyah ke serata pelusuk alam. Allahuakbar!

Saya teringat seseorang yang amat saya hormati pernah menyampaikan nasihat,

“Apabila para du’at tinggal serumah banyak perkara dan kerja dakwah dapat dilaksanakan dengan sempurna. Suasana dan Bi’ah solehah dapat diwujudkan. Solat berjamaah, Tazkeerah selepas solat. Hafazan bersama, makan bersama, riadah bersama, qiayyam bersama, iftar bersama dan segala macam aktiviti dapat dirancang dan mad’u juga dapat dibentuk dan digilap sebaik mungkin.

Saya sedar membina RI bukan semudah memasang impian dan angan-angan. Contohnya,

” Oh, di RI nanti, kami akan sentiasa bersolat jemaah,”

“Oh, di RI nanti, kami akan selalu qiyam bersama,”

“Oh, di RI nanti, kami akan kerap membedah buku tarbiyah”

“Oh, di RI nanti, kami akan itu…Oh di RI nanti, kami akan ini..,”

Merancang memang mudah, namun pelaksanaanya pasti menelan pengorbanan. Apatah lagi dalam konteks pembinaan RI ini, saya sering tertanya-tanya adakah saya benar-benar mampu menggalas misi pembentukan diri sendiri dan ahli rumah. Atau adakah saya sekadar menghidap simptom “hangat-hangat tahi ayam?”

Seperti pelajar atau pekerja di awal tahun, banyak azam dan resolusi yang dipasang. Penuh bersemangat. Planner penuh dengan strategi ,”things to do” atau “things to achieve”. Namun, terkadang perancangan yang disusun manusia tidak semestinya akan disusuli dengan pelaksanaan yang sempurna.

Sekali lagi, saya teringat pesanan seorang murabbiah, katanya:

“Elemen utama dalam pembentukan RI ini adalah individu yang menghiasinya. Semua yang menghuni RI harus sedar yang mereka sedang berjihad dalam membentuk suasana kondusif untuk beramal secara jamaie . Dengan kesedaran ini, setiap individu dalam RI harus FAHAM akan objektif utama, berbincang dan berusaha secara konsisten untuk mencapai objektif tersebut. Namun, sekiranya ada anggotanya yang tidak faham, sudah pastilah usaha pembentukan suasana hasanah ini mengalami kesulitan dan mungkin boleh mencacatkan keberhasilannya.”

Pesanan ini sudah cukup meninggalkan bekas di hati saya.

Saya pernah bermonolog sendirian, adakah diri saya sendiri sudah benar-benar faham matlamat RI yang sebenar dan mempersiapkan diri untuk mengemudi diri sendiri dan ahli rumah mencapai objektif ?Saya sendiri kadangkala takut untuk memikirkan persoalan ini.

Wah, tiba-tiba coretan saya berbaur serius. Huhu. Asalnya mahu berkongsi sedikit cerita yang meriangkan hati saya hari ini. Sekarang ini, saya dan bakal housemates dalam mood mempersiapkan rumah baru. Nama teratak kami juga masih dalam perbincangan. Ada cadangan? Sudi-sudilah khabarkan kepada saya.

Hmm.. alhamdulilah buku-buku untuk perpustakaan mini kami sudah mula dibeli. Kami beruntung apabila rumah baru kami nanti mempunyai bilik kecil untuk menempatkan perpustakaan mini untuk keperluan tarbiyah.

Pagi tadi sahaja hampir 70 pounds habis untuk buku-buku sahaja. Ini tidak termasuk lagi buku-buku tarbiyah warisan Kak Nik Mun. huhu. Tak apalah, pelaburan saham akhirat insyalah. :-)

Hasil "tangkapan" kami di Kedai Buku Bab-e- Islam pagi tadi. Hampir 70 pounds habis dalam jangka masa sejam. Beginilah jadinya jika sudah "gila buku". :-)

Hasil "tangkapan" kami di Kedai Buku Bab-e- Islam pagi tadi. Hampir 70 pounds habis dalam jangka masa sejam. Beginilah jadinya jika sudah "gila buku". :-)


Untuk sahabat di luar sana, mohon usaha ini dipemudahkan ya!.


Sedang memanaskan enjin untuk menulis kembali,

Iman muslihah

Sheffield, UK.

4 Rejab 1430 Hijrah.

http://halawatuliman.wordpress.com/