Potret Anak-anak Kita di Sini
13 Ramadhan 1429
Masjid Jamek Muar, Johor
Jenuh juga mengambil gambar keletah kanak-kanak tanpa pengetahuan mereka di celah-celah kemeriahan Pesta Ibadah Solat Tarawikh Ramadhan di masjid daerah kampung halaman saya pada cuti musim panas yang lepas. Namun tidak pula saya menyerah kalah memacukan lensa kamera baru saya berjenama Samsung ini, demi merakamkan aksi kanak-kanak ketika mereka menunaikan solat tarawikh bersama para jemaah.Kamera baru saya ini, "Nurul Izzah" namanya. :-)
Mengapa ya saya merakamkan keletah mereka?
Jika ditanya ketika itu, saya sendiri kurang pasti. Yang pastinya ada sesuatu yang menarik saya untuk mengabadikan keletah anak-anak kecil ini dalam memori "Nurul Izzah" saya.
Sungguhpun gambar-gambar ini tidak bisa bersuara, namun ketahuilah betapa riangnya hati anak-anak cilik ini tatkala diberi peluang bersolat bersama ibu ayah dan adik beradik tercinta.
Bertuah benar mereka.
........................................................................................................................................................................
Potret Anak-anak Kita di Sana
1 Muharram 1430.
(Entah ceruk mana di bumi Palestina.)
Entah apa yang telah merasuk rejim zionis, saya sendiri sudah letih memikirkannya. Tatkala diari tahun baru mula menampakkan lembaran barunya, tatkala itulah peluru-peluru zionis tidak segan silu berpesta di bumi Palestina.
Aduhai, tidak saya sangka sebuah sajak bertajuk "Kisah Anak Palestin" yang saya persembahkan di satu sesi ketika Perhimpunan Musim Sejuk Scotland 2008 menjadi igauan sebaik sahaja saya sampai di halaman rumah sendiri di Sheffield. Sebaik sahaja tiba dari kembara ilmu selama 7 hari di bumi dingin Scotland, papan kekunci "Nurul Iman" terus sahaja menjadi sasaran. Dunia luar disinggahi untuk barang seketika.
Aduhai...
Himpunan berita yang sungguh pahit untuk ditelan.
Aduhai Palestina..
Gaza Makin Tenat !!
Isnin ,22/12/2008 -Pengerusi jawatankuasa popular pengepungan, MP Gaza, Jamal Al-Khudari Ahad lalu mengecam keras sekatan ekonomi Israel terhadap Semenanjung Gaza, sambil menegaskan bahawa pengepungan itu menjadikan Gaza terpinggir disamping bencana kemanusiaan yang membimbangkan.
Serangan habis-habisan ke atas Gaza.
Jumaat ,26/12/2008 -Ketua Tentera Rejim Zionis , Gabi Ashkenazi telah mengugut pada Khamis lepas akan mengerah seluruh kekuatan tentera bagi menyerang balas Gaza seperti yang di arahkan oleh kerajaan Israel .
Rejim Zionis menyerang Universiti Islam Gaza.
Isnin,29/12/2008 - Tentera rejim Zionis terus menerus menyerang Jalur Gaza dengan mengebom Universiti Islam Gaza di bandar Gaza pada sebelah malam.
(lagi berita di Palestinkini.info)
Entah mengapa saat itu bayangan Yvone Ridley -bekas tahanan Taliban yang begitu bersemangat meniupkan obor semangat ketika beliau berceramah di satu sesi Perhimpunan Musim Sejuk 2008 dan gambar visual maya anak-anak Palestin yang malang silih berganti mengisi minda .
Jiwa yang pada mulanya berkobar-kobar akibat penangan Yvone Ridley tiba-tiba meruntun hiba mengenangkan nasib anak-anak Palestin sana.
Masakan tidak, anak-anak Palestin juga anak-anak kita.
Anak-anak saya.
Anak-anak anda.
Anak-anak kita.
Mengapa tidak?
Kerana bumi Palestina itu wathon kita!!
..........................................................................................................................................................................
Aduhai Anak-anak Kita
Saya mungkin tidak sekuat Yvone Ridley yang tegar menyeberangi Tebing Barat untuk memburu kisah-kisah benar di sebalik gambar duka anak-anak Palestin demi merungkai segala kekejaman Israel.
Saya juga mungkin tidak mampu merakam potret-potret sebenar tangisan dan ketakutan anak-anak Palestin dengan lensa kamera sendiri.
Yang saya mampu, hanyalah membaca kisah-kisah mereka dan menatap potret kedukaan mereka dengan hati yang lara.
Tatkala menatap rakaman gambar anak-anak Malaysia yang riang belajar menunaikan solat Tarawikh dan berlari-lari sambil tertawa di perkarangan masjid, saya tertanya-tanya adakah anak-anak Palestin juga bisa mendapat peluang sedemikan rupa?
Masih adakah ruang waktu bagi mereka untuk mereka belajar mengangkat takbir, rukuk dan sujud menyembah Tuhan yang Esa? Ataukah senggang waktu yang ada hanya mampu terisi dengan lolongan kesakitan, rengekan kelaparan, tangisan ketakutan dan bertempiaran lari daripada bedilan peluru yang maha zalim?
Aduhai anak-anak kita..
............................................................................................................................................................................
Hidup Memberi
Jika pembaca blog lama saya (www.imanmuslihah@blogspot.com) masih ingat, saya dan akhawat seusrah pernah melancarkan jualan amal Palestin pada tahun yang lalu di Sheffield. Setelah beberapa bulan lamanya kami melakukan kerja-kerja mengumpul modal, merancang strategi penjualan, kerja-kerja promosi, shipping baju-baju ke UK dan pengagihan dan penjualan, kami berjaya mengumpul satu jumlah kutipan yang amat kami harapkan dapat meringankan beban saudara-saudara di Palestin sana.
Alhamdulilah, setakat tarikh 1 Muharram 1430 Hijriyah, dengan izin Allah, kami mampu mengumpul sebanyak 1243.10 pounds dan telah pun diserahkan kepada badan-badan penyalur bantuan Palestin yang diiktiraf dan diyakini.
Mungkin jumlah tersebut tidaklah seberapa jika hendak dibandingkan dengan bantuan yang benar-benar diperlukan oleh mereka yang tenat diheret ke kancah penderitaan.
Jika diimbas kenangan mula-mula meraih sokongan mental dan material untuk proposal projek mini ini, tentu sekali kenangan manis ini menggamit ingatan. Bilangan pemodal kami tidaklah gah dari segi angkanya, namun keluhuran budi mereka benar-benar menyentuh jiwa. Lebih berbekas di hati, kesemuanya adalah rakan akhawat tercinta yang tidak pernah putus memberi sokongan kepada diri kerdil ini.
Video promo ketika promosi di NISE Leeds Februari 2008
Tidak lupa juga kepada para pembeli yang budiman, sepertimana yang dijanjikan,100% daripada keuntungan jualan ini, kami bertindak sebagai wakil anda "menghadiahkan" sumbangan anda yang tidak ternilai harganya ini kepada saudara-saudara kita, anak-anak kita di bumi dan wathon kita, Pelestina.
Video Untukmu Alif Kecil Palestina- tayangan di Tamrin NISA Manchester 2008
SEBUAH HADIAH YANG BERNAMA DOA
Berzikir dengan nama tuhanmu
Bermunajatlah di tengah malam
Bertaubatlah padanya penuh rasa hamba
Agar doa kita di.. makbulkan
Agar Palestina kita genggam semula
Agar Palestin bebas di tangan kita
Kembali damai disirami air
Dengan kata dan ketaqwaan
Pada Allah yang maha kuasa
Ketakutan dan kelemahan
Peluru dan dentuman
Bukan lagi penghalang
Pembelaan Allah akan datang
Terimalah bingkisan hadiahku ini
Walau sekadar doa cuma.
Lukisan potret hati,
iman muslihah
2 Muharam 1430, 5.09 pagi
Sheffield
http://halawatuliman.wordpress.com
1 comment:
Tahniah Wani,
Satu usaha yang baik. Walaupun dari segi duit, mungkin nampak mcm banyak untung. Tapi idea, usaha, planning Wani dan rakan2 memang menarik. Semoga usaha murni ini dapat diusahakan di lain masa.
Tahniah..semoga Allah memberkatinya.
Post a Comment