Sunday, 23 November 2008

Tazkirah di bumi Sheffield

Setinggi-tinggi rasa kesyukuran kepada Allah yang Maha Esa diatas segala nikmat yang diberi yang pasti tidak terkira banyaknya dan nikmat yang paling bernilai nikmat Islam dan Iman.

Tazkirah.
Alhamdulillah , di bumi Sheffield ini saya masih diberi peluang dan ruang bersama beberapa sahabat untuk berada didalam satu pertemuan mingguan untuk bersama menerima dan berkongsi ilmu tentang islam dan iman. Salah satu agenda dalam pertemuan kami ialah memberi dan menerima tazkirah.

Setiap minggu jugalah naqibah kami akan bertanya ...siapa yang nak sampaikan tazkirah next week..???..:D..dan jarang sekali kami volunteer walaupun dah besar-besar belaka,:D pasti tertanya-tanya kenapa yer..?:D, kalau nak tahu kami hanya perlu sampaikan sahaja, bahan telah disediakan...tapi kami masih takut.. sebab..naqibah kami suka bagi bahan tazkirah dalam English...:D Dan kami selalu beri banyak alasan takut tak faham, tapi naqibah saya tu tetap akan beri juga dan point sesiapa antara kami berenam. Namun begitu, dari sinilah saya dan sahabat-sahabat yang lain belajar walaupun kadang-kadang terkial-kial kami nak translate,naqibah senyum jer...dan kadang2 tu naqibah yang kena sampaikan semula..,maafkan kami yer....kami budak baru belajar:D

Itulah kelaziman kami setiap minggu..ada sahaja topik baru untuk sesi tazkirah..rasa terisi jiwa yang dahagakan pengisian..maklumlah di bumi di mana Islam itu asing, dan rasa bertuah juga kerana disini jugalah saya dan sahabat-sahabat yang lain lebih menghargai Islam.

Namun begitu,banyak-banyak tazkirah....tazkirah yang paling terkesan di dalam diri saya adalah pada 19 November 2008, tazkirah tentang kematian.


Pada petang 19 November Sheffield diselubungi kesedihan kerana kembalinya baby Abdullah Fahmi yang berusia hampir 3 bulan kepada Yang Maha Pencipta. Al-Fatihah.

Katakanlah, akan diambil nyawa kamu oleh malaikat maut yang ditugaskan buat kamu, kemudian kepada Tuhanmu kamu akan dikembalikan.” (Surah al-Sajdah, ayat 11)

Dan pada keesokkan harinya, 20 November saya berkesempatan untuk menaiki van bersama-sama ayah dan bonda arwah dan beberapa warga Sheffield yang lain membawa jenazah untuk dikebumikan di Tinsley Park, Sheffield. Pengalaman yang baru bagi saya , untuk pengkebumian, terlebih dahulu kami memasuki tanah perkuburan kristian dan beberapa meter di atas bukit di kawasan yang sama terdapat tanah perkuburan Islam. Ia hanya dipisahkan dengan laluan sebuah kenderaan. Walaupun begitu rasa bersyukur sangat , masih ada tanah perkuburan Islam di Sheffield, sebagai tanda Islam telah diterima.


Sejak kaki saya berpijak di tanah perkuburan dan melihat liang lahad telah tersedia...hati terdetik..Ya Allah inilah tempat terakhir setiap manusia di muka bumi, diri ini jua pasti kesini satu hari nanti.Apabila melihat keranda dimasukkan dan tanah ditimbus sedikit demi sedikit dan akhirnya seluruhnya tertutup. Dan ketika itu hati ini terdetik..baby ini bersih dari segala dosa dan ia kembali dengan wajah yang tenang dan tersenyum, kembali kepadaMu,ya Allah. Bagaimana diriku ini yang hampir puluhan hidup dibumi dan bagaimana keadaannya jika diri ini kembali kepadamu,Ya Allah...rasa sedih..takut dan insaf..dosa dan amal..apa bekalan yang akan kubawa untuk hidup disana nanti. ..Itulah tazkirah untuk diri saya yang saya rasa sampai ke hari ini.

Sabda Rasulullah s. a.w:
"Cukup mati itu menjadi penasihat(menginsafkan)"


Semoga kita yang masih bernyawa ini tidak terus leka dan lalai dari mengingati mati dan jangan sampai penyesalan selama-lamanya di akhirat kelak.


"Katakanlah bahawasanya maut yang kamu sekalian ingin lari darinya itu pasti akam menemui kamu, kemudian kamu sekalian akan dikembalikan kepada Zat yang Maha Mengetahui segala yang gahib serta yang nyata, kelak Dia akan memberitahu kamu segala apa yang telah kemu lakukan"(al-Jumu'ah:8)


Ingatlah sesama kita bahawa dunia hanya sementara, alam kubur adalah perhentian dan akhirat kehidupan abadi. Sama-sama kita panjatkan doa agar setiap diri kita akan berakhir dengan pengakhiran yang baik- husnul-khatimah.

Sunday, 16 November 2008

Three Feet!! Three feet!!

Sabtu, 8 November 2008

Netball court, Highfield, Nottingham


"Wani!!! Jaga three feet!!" satu jeritan bergema di gegendang telinga saya. Sama ada suara Kak Alia atau Kak Zatil, saya tidak pasti.

"Preeeett!!, " tiba-tiba satu tiupan wisel pula menerjah.

"Alamak..habislah," desis hati saya. Saya menghentikan gerakan badan. Mengalihkan sebentar pandangan ke arah pengadil yang mara ke arah saya.

"You, diri tepi!," pendek sahaja arahannya kepada saya.Tegas. Saya beralih ke arah tepi. Menurut sahaja arahan pengadil.

Kemudian wisel ditiup lagi menandakan permainan dimulakan semula.

Entah mengapa, walaupun telah menjalani beberapa sesi latihan bola jaring di Springfield pada waktu petang, saya masih gagal mengagak jarak "three feet" untuk menepis bola yang bakal dijaringkan oleh pihak lawan. Berasa di posisi defender (Goal Keeper- GK) di kawasan D menuntut saya untuk mahir mengagak three feet semasa mengawal gawang gol daripada dibolosi pihak lawan. Jika saya menghalang pihak lawan dalam jarak yang terlalu dekat, cubaan gol penalti akan diberikan kepada pihak mereka.


Akibat daripada kelemahan ini, saya seringkali terpaksa "bermuka tebal" berdiri di tepi goal shooter pihak lawan dan melihat sahaja pihak lawan menjaringkan goal.


Akhirnya, saya membuat strategi dengan pasangan saya, Goal Defender (GD) untuk menghentikan kesilapan yang sama berulang.


"Zalina, akak asyik fail je nak buat three feet. Lepas ni, Zalina lah buat three feet tu, akak jaga bola rebound!," saya memberi cadangan.

Junior saya ini hanya mengangguk setuju.


Pada minggu yang lalu, dua bas rombongan kontinjen Sheffield bertamu ke Nottingham Games 2008 atas pelbagai misi. Ada yang terlibat dengan match football, netball, chess dan lain-lain permainan. Tidak kurang juga datang dengan misi mempromosikan event seperti Nasyeed Extravaganza 2009 dan Sheffield Games 2009.


Saya pula datang dengan pelbagai misi:

1. Perlawanan Netball

2. Promosi Nasyeed Extravaganza 2009.

3. "Doktor olok-olok" @ Mengambil bacaan tekanan darah pengunjung di Booth Majlis Syura Muslimun Lokaliti Nottingham.

4. Berjumpa dengan sahabat handai dan adik-adik junior KMB yang menuntut di universiti United Kingdom.


Alhamdulilah, saya kira kunjungan saya kali ini ke Nottingham lebih bermakna berbanding tahun lepas kerana kali ini saya terlibat untuk "memberi sesuatu" dalam temasya Malaysian Games terbesar di UK ini. Benarlah kata-kata penulis buku " I Love Ramadhan", Ustaz Sahrulazmi, apabila kita "play role" dalam sesuatu aktiviti, kita akan lebih merasai kenikmatannya berbanding sekadar menjadi penonton.


Ini adalah kali pertama saya terlibat secara langsung dalam perlawanan permainan bersukan pada peringkat Temasya Malaysian Games. Alhamdulilah, tahun ini, Allah berikan saya kesihatan yang baik untuk turut serta berkecimpung dalam arena ini. Mungkin berkat "kawalan ketat" ibu bapa saya yang begitu menjaga pemakan dan kesihatan saya semasa musim panas yang lepas, antibody saya kali ini lebih kental mendepani kesejukan musim luruh dan pra- musim sejuk ini. Melihat keadaan saya yang lebih baik ini, saya tidak teragak-agak untuk turut serta dalam team netball Sheffield pada tahun ini. Malah, rakan serumah saya, Atikah dan Munirah juga tidak ketinggalan menyarung jersi team Netball Sheffield semester ini.

Pemain dalam kategori tinggi ^_^
Pemain dalam kategori tinggi ^_^
pemain dalam kategori -comel =)
pemain dalam kategori -comel =)
ini kapten kami- kak alia
ini kapten kami- kak alia


.........................................................................................................................................................

Ohhh..Macam tu ke ? Baru faham...

Saya tertarik dengan poster-poster di bawah ini.

Ciri individu muslim
Ciri individu muslim
10 muwasafat tarbiyah
10 muwasafat tarbiyah

Secara jujurnya, sebelum ini saya sudah pun mengetahui 10 muwasafat tarbiyah ini melalui pembacaan website atau blog rakan-rakan. Namun, "tahu" sahaja sebenarnya tidak cukup untuk membawa diri untuk mendalami peri penting tentang 10 muwasafat ini terhadap perkasaan tarbiyah. Oleh kerana itu, proses pemahaman itu penting. (Muhasabah ini saya tujukan untuk diri saya yang masih bertatih dalam proses dakwah dan tarbiyah.)


Namun, pemahaman ilmu, jika tidak disertakan dengan amalan hanyalah sesuatu yang sia-sia. Lebih ditakuti jika sia-sia itu membawa ke arah celaka. Nauzubillah.


Atas dasar itulah, setiap ilmu yang ditimba perlu diamalkan kemudian diajarkan kepada orang lain.

Berpaksikan kepada 10 muwasafat tarbiyah, fokus penulisan saya pada kali ini menyorot kepada kepentingan menjaga kesihatan tubuh badan.


"Ala..jaga kesihatan!? Semua orang tahu.."


Nampak remeh bukan? Tetapi percayalah ia bukan sekadar untuk memastikan aktiviti seharian berjalan lancar apabila kesihatan fizikal terjaga, tetapi ia penting untuk memastikan tanggungjawab dakwah dapat berlangsung dengan baik.

Tujuan saya memilih "Qawaiyyul Jism" / Sihat Tubuh Badan ini bukanlah semata-mata kerana saya merupakan pelajar perubatan. Tetapi sepanjang perjalanan saya pulang dari Nottingham Games, fikiran saya tertumpu kepada muhasabah diri;


1. Apakah yang telah saya perolehi daripada temasya sukan kali ini? Adakah cukup dengan kegembiraan bermain bersama rakan-rakan sahaja? Adakah cukup dengan keseronokan berjumpa sahabat handai lama ketika menuntut di kolej persediaan sahaja?


2. Apa yang boleh saya kaitkan aktiviti sehari suntuk saya ketika itu dengan progress tarbiyah diri dan dakwah?


Lama saya termenung.

Sesekali saya menjeling ke arah Kak sofiah, Pengarah Next 09 yang lena diulit mimpi di sebelah.


Sekadar memetik kata-kata Imam Besar Assyahid Hassan Al Banna,

'Wajib ke atas setiap muslim memulakan dengan memperbaiki dirinya, kesempurnaan itu dapat dilihat bila ia telah dapat memiliki beberapa perkara yang meletakkan ia di peringkat tertentu yang menjadikan ia mampu untuk memikul tanggungjawab amal Islami'"


Kata-kata mutiara pejuang agung Ad Deen itu sudah cukup mengilustrasikan betapa pentingnya pembinaan karekter individu muslim yang cemerlang sebagai batu asas ke arah penanggungjawaban islami yang lebih menyeluruh. Dalam konteks penjagaan tubuh badan dan minda, penting atas setiap individu muslim itu memelihara kesejateraan kesihatannya. Apatah lagi terhadap daie, tentu sahaja kesihatan diri menjadi pra syarat kepada pelaksanaan dakwahnya kepada masyarakat.

Jika badan sakit-sakit, fikiran bercelaru, otak berserabut, macam mana pula mahu keluar berdakwah?


Rasullullah pernah meningalkan pesanan berbunyi:

Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan.



Namun, tidaklah bermakna kasih sayang Allah itu terhad kepada mukmin yang sihat-sihat sahaja, dan Allah tidak memandang langsung kepada hambanya yang sakit. Tidak! Mustahil untuk Allah bersifat Zalim.

Cuma bagi kita yang masih mempunyai kesihatan yang mengizinkan, tiada ruginya jika kita memelihara nikmat kesihatan yang kita ada untuk dimanfaatkan untuk kebaikan diri, keluarga dan ummat.

..........................................................................................................................................

Macam mana nak jadi sihat?



Sebagai pelajar, tentu sekali rutin kehidupan kita padat dengan pelbagai aktiviti. Bermula dengan bangun sebelum fajar, qiyamullail, solat subuh, menghadiri lectures, meeting persatuan, menghadiri usrah sebagai mad'u, menghadiri usrah sebagai naqib/naqibah, mengulangkaji pelajaran, meghadiri program tarbiyah dan sebagainya.

Jika tidak dimantapkan dengan stamina yang kuat dan ketahanan mental yang utuh, jangan harap semua ini dapat dilakukan dengan baik. Maka bersyukurlah kita dengan kesihatan yang ada.


Namun, semua itu tidak cukup dengan sekadar bersyukur.

Mengambil analogi sebuah kereta Ferrari yang berkuasa tinggi, canggih, bergaya dan mewah, jika diguna berulangkali, dilanyak semua lubang-lubang jalan, becak-becak jalan kampung, dibiarkan berjemur di tengah panas, bermandikan hujan tanpa sebarang penjagaan, lama kelamaan, pasti sahaja kereta mewah itu akan cepat nazak dan jangka hayatnya boleh tamat bila-bila masa.

Sama seperti kesihatan tubuh badan. Kesihatan menjadi enjin/generator kepada tubuh untuk bergerak menjalani aktiviti seharian.

Jadi, di sini saya serta beberapa tips yang saya dapati melalui pembacan peribadi. Ada antaranya sudah menjadi amalan saya, ada juga masih dalam tempoh percubaan. ^_^


1. Tabiat pemakanan.


a) Pengambilan sayur dan buah-buahan dalam kuantiti yang banyak.


Semua orang tahu betapa sayur dan buah-buahan amat berkhasiat. Namun, ramai juga yang tidak menggemarinya. Mengapa ya?

Sejak kecil lagi, saya dan adik-adik dididik untuk makan makanan yang berkhasiat. Amat jarang sekali kami diberi kebenaran untuk manyentuh makan ringan @ "cekedis/jajan". Malah, saya masih ingat lagi, keropok Super Ring yang berwarna oren pekat itu memang menjadi "musuh" ibu saya. Pantang jika anak-anaknya mendekati makanan seumpama itu. Terseksa juga kehidupan kami adik beradik ketika itu.

Ibu saya memang berdedikasi dalam penyediaan makanan. Seringkali kami disogok dengan pertandingan "siapa makan sayur paling banyak", hadiah lumayan pasti akan menanti. Hasilnya, kami adik beradik hingga kini, memang penggemar sayur nombor satu.


b) Sarapan pagi


Setiap hari, saya akan bangun awal pagi lantaran tabiat saya yang lebih gemar mengulangkaji pada sebelum fajar. Saya dapati,apabila saya bangkit daripada tidur, sang perut pasti sahaja akan berlagu berkeroncong. Akibatnya, saya akan "enak bersarapan awal " ketika orang lain pula "sedang enak diulit mimpi". Namun tidak pula saya memberitahu tabiat saya ini kepada orang lain, yalah, manalah tahu digelakkan orang. "Orang lain syok tidur, dia pergi korek dapur pula"..

Namun, baru-baru ini, saya terbaca satu penulisan tentang pemakanan. Katanya pakar pemakanan:

Segera makan sejurus bangun tidur malam (dalam 30 minit yang pertama). Ini kerana badan menyerap nutrisi sewaktu tidur. Oleh itu ia memerlukan nutrisi yang lebih saat bangun dari tidur. Jika keperluan ini tidak dipenuhi, proses katabolik akan berlaku di mana otot akan dipecahkan untuk mendapatkan tenaga. Ini tidak baik untuk badan. Bagi orang yang gemuk, ia akan menambahkan komposisi lemak tubuh dan bagi orang yang kurus, ia akan mengurangkan lagi otot badan lantas mengurangkan stamina.

(maka, tidak peliklah sebenarnya tabiat saya makan awal pagi tu lah ya? huhu)

Atau dalam bahasa yang lebih mudah, jangan sesekali meninggalkan sarapan kerana sarapan penting untuk menjana tenaga seharian!

Jangan lupa juga mengambil pesanan rasullulah dalam merancang diet pemakanan:

Makan sebelum lapar, dan berhenti sebelum kenyang.”


c) Pangambilan supplement dan makanan berkhasiat tambahan.


Kini, terdapat multi vitamin, vitamin C dan pelbagai lagi supplement yang dijual di farmasi. Bapa saya yang bekerja di kaunter farmasi hospital Sultanah Fatimah, Muar memang tidak kedekut untuk membekalkan anak-anaknya dengan pelbagai supplement. Namun, sudah menjadi tabiat semulajadi, sejak dahulu kami adik beradik mengalami masalah compliance (terma yang digunakan dalam perubatan)- masalah untuk mendisiplinkan diri dengan pengambilan ubat-ubatan (dalam hal kami ini, multivitamin).

Tetapi, alhamdulilah, sejak saya mula menjinakkan diri dalam arena dakwah, saya sedar betapa pentingnya untuk meletakkan kesihatan pada tahap "tip top". Saya tidak boleh selalu sakit. Saya tidak boleh cepat penat dan lemah.

Kini, selain mengamalkan pengambilan multivitamin, telah diwajibkan oleh ayah ke atas saya untuk mengambil madu sekali sehari. Tetapi atas semangat untuk menjaga kesihatan, saya mengambil madu dua kali sehari iaitu sekali sebelum sarapan dan sekali sebelum tidur.


2. Senaman fizikal


Saya sebenarnya bukanlah seorang yang aktif bersukan. Teringat zaman-zaman di KMB dulu, aktiviti yang amat saya suka hanyalah bermain squash (itu pun tidaklah dilakukan setiap minggu) dan jogging pagi setiap hujung minggu. Saya teringat ketika itu, saya gemarkan keluar jogging waktu pagi kadangkala bersama Ukhti Ezzati ataupun bersendiri kerana pada waktu pagi sahajalah sang tupai akan berkeliaran di padang hijau kolej persediaan saya itu.

Alhamdulilah, menjejak kaki di bumi UK ini, banyak pula aktiviti sukan yang mula saya gemari. Selain menyertai pasukan netball tahun ini, bermula tahun lepas, saya gemar melakukan aktiviti swimming bersama ukhti serumah saya, Atikah. Kredit diberikan kepada beliau kerana berjaya memujuk saya dan mengajar saya swimming skill. Saya tidak mengambil masa yang panjang untuk menguasai teknik yang diajarkan- free style, back stroke dan breast stroke. Jazakillah ya ukhti!

Namun, dalam beriadah, apa yang penting ialah untuk cuba istiqamah. Tidak mengapa jika dilakukan dalam kuantiti yang sedikit, tetapi berterusan.


3. Rehat yang mencukupi.


Waktu rehat yang paling ideal ialah ketika waktu tidur kerana sesungguhnya Allah telah berfirman:

Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu beristirehat padanya dan menjadikan siang terang benderang supaya kamu mencari kurnia Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda2 kekuasaan Allah bagi orang2 yang mendengar. (Yunus : 67)

Tidur 4-6 jam sehari merupakan saranan yang baik untuk merancang tempoh tidur. Tidur yang terlalu lama pula mempunyai kecenderungan untuk menjejaskan kesihatan.

Saya teringat beberapa ketika dahulu, saya pernah terbaca buku karya Dato' Dr. Fadzilah Kamsah, ilmuan terkemuka seperti Thomas Elva Edison dan Professor Diraja Ungku Aziz mengamalkan tabiat tidur sebentar (10-15 minit) apabila penat sebelum memulakan semula kerja mereka.Hal ini bertujuan untuk menjana semula tenaga fizikal dan minda yang telah penat bekerja. Jika diperhatikan, tidur dan rehat mereka tidak berlebihan, sekadar cukup untuk menggantikan tenaga yang telah digunakan semasa bekerja.

..............................................................................................................................................................

Saya ingin cepat sembuh!!


Ketika ini, jam menunjukkan 11.51 malam. Pada kebiasaannya, jam 10 malam mata saya pasti layu kepenatan. Cuma hujung minggu ini, saya diserang demam selesema hingga hilang suara. Maka, akibat kesan ubat yang diambil, banyak juga masa siang saya di"reserve" untuk tidur. Akibatnya malam ini, mata saya masih lagi segar bugar walaupun pada hakikatnya saya perlu tidur pada waktu ini.

Menyedari saya bakal mengembara ke banyak tempat menjelang cuti - Ireland, Spain dan Scotland atas tujuan sebagai petugas program, menuntut ilmu dan jaulah, tentu sekali saya perlu pastikan saya mampu menangani masalh kesejukan yang sering mengganggu kesihatan saya pada tahun lepas.

Maka, 3 hari yang lepas, Atikah dan saya sama-sama mengunjungi pusat perubatan berdekatan untuk mendapatkan Flu Jab bagi menghadapi musim sejuk yang bakal tiba. Sebelum diberi suntikan, saya sudah dimaklumkan bahawa saya mungkin akan terdedah kepada "immunological reaction" terhadap suntikan itu. Katanya, paling awal pun, reaction itu mungkin akan muncul dalam jangka masa seminggu. Namun, saya agak kurang bernasib baik. Tidak sampai 5 jam saya memperolehi suntikan tersebut, tekak saya mula berasa perit. Sesekali hidung dirasakan mula berair.


Setelah dirujuk kepada Ibu Naqibah saya yang juga merupakan seorang doktor, katanya, itu perkara biasa.


Alhamdulilah..Kurang sedikir gelabah saya.


Tetapi melihatkan keadaan saya yang kehilangan suara ditambah dengan hidung yang sering tersumbat, saya fikir ,hebat juga reaction terhadap injection tersebut untuk membolehkan tubuh saya immune terhadap serangan selesema pada masa akan datang.


Tak mengapa, biarlah sakit sekarang, jangan sakit ketika saya sedang sibuk berprogram. Risau juga jika kesihatan menggangu "performance dan effectiveness" diri saya ketika program yang telah dirancang ketika cuti nanti.


Bak kata orang-orang tua Melayu,

Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. =)


Semoga gabungan cetusan idea dan pengalaman peribadi saya kali ini bermanfaat.

Wallahualam.


Sunday, 9 November 2008

LIAT??

Bismillahirrahmanirrahim..


Salah seorang teman saya menghantar emel bertajuk "LIAT" kepada saya.
Liat?
Apakah?

Lalu, saya menarik cursor mouse ke atas link tersebut. Klik!

Sama-samalah kita hayati sesuatu tentang "LIAT" .
..............................................................................................................................................................


Anda punya rahsia atau petua bagaimana melembutkan daging yang liat? Saya punya, yang entah benar entah tidak. Ini kerana saya sendiri tidak pernah mencubanya, saya sendiri tidak di”turunkan” petua ini kepada saya. Tetapi saya merungkai petua melunak lembutkan daging liat ini lewat pemerhatian saya, terhadap masakan dan kaedah yang digunakan oleh ibu saya tiap kali berhadapan dengan daging yang liat.

Petuanya mudah saja. Anda rendamkan dan rebuskan daging itu di dalam air. Maka lunaklah ia -insyaALLAH. Adakah petua menghilangkan keliatan daging yang saya kemukan ini benar? Adakah anda setuju dengan petua saya?



Begitulah menghadapi keliatan manusia. Manusia -pada ketikanya- akan liat untuk bangun tahajud. Liat untuk bangun solat Subuh. Bahkan terlebih liat untuk bangun mempertahan dan memperjuangkan kemuliaan dan eksistensi agamanya. Maka, bagaimana caranya melunakkan rasa liat ini?



Rendamkanlah dirimu dalam “air” yang memang sifatnya melembutkan. Kalau selama ini sang daging bercengkarama dengan keliatannya di atas darat, maka ianya bisa dirungkai tatkala ia menghadapi hidup di dalam air. Segeralah cari “air” bagi memulakan kehidupan barumu. Air itu berupa suasana beragama, suasana tarbiyah, suasana zikir dan fikir.



Itulah sebabnya Nabi SAW dirunkan ke persada bumi ini, guna untuk mensucikan (tazkiyah) relung-relung hati manusia, selain mentilawah membacakan ayat-ayat ALLAH kepada mereka dan mengajarkan buat mereka khazanah ilmu dan hikmah (Surah 62:2).



Itulah sebabnya, Nabi SAW sudah memperingatkan betapa seketul daging di dalam tubuh anak Adam itulah yang menentukan liat tak liatnya ia kepada kebaikan dan kebenaran, atau lemahnya ia hingga melutut kepada gudang kemaksiatan.



Ini kerana hati itu bisa keras, maka lembutkanlah ia dengan zikrullah. Lunakkanlah ia dengan tilawah. Suburkanlah ia dengan tarbiyah, berbaja dan bersiramkan ukhuwwah islamiyah. Segeralah masuk ke jeram air itu, agar kita jauh dari pancingan syahwat. Benarlah dikau duhai Imam as-Syafi’e; “sibukkanlah dirimu dengan ibadah, jika tidak, engkau akan disibukkan dengan maksiat.”

Tulisan asal: http://faridul.wordpress.com/2008/11/06/liat/

Petang yang dingin,
iman_muslihah
11 Zul kaedah 1429

Monday, 3 November 2008

Kenangan Itu


Saya mula meminati nasyid secara serius ketika berusia 17 tahun. Ada peristiwa yang mengheret saya ke arah minat baru saya ini.
Setakat ini, saya paling menyukai lagu ini, betajuk Muhasabah Cinta.

.


Wahai... Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Kupasrahkan semua padaMu

Tuhan... Baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cintaMu

Reff. :
Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya ilahi....
Muhasabah cintaku...

Tuhan... Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu




Ketika saya ditemukan dengan seorang lelaki yang sungguh saya kagumi dan membuatkan saya jauh hati dengan peribadinya.
LELAKI? !!

Sabar..sabar dulu..jangan salah anggap..
Lelaki yang dimaksudkan itu ialah Pak Man, seorang pakar motivasi yang mengembara dari Kuala Lumpur jauh ke ceruk Pekan Serting (MRSM Serting) bersama teamnya.
Bersusah payah merentas jalan yang berbengkang bengkok dan rosak semata-mata untuk berkhidmat demi anak-anak bangsa yang bakal menghadapi peperiksaan SPM.
Peperiksaan yang akan menentukan arah tuju kami kami selepas itu.

Beliau tegar memberikan suntikan motivasi kepada kami.
Meniupkan elemen kerohanian, ketaatan dan ketakwaan kepada Allah.
Bergegar Dewan Gemilang MRSM Serting dengan laungan suaranya.

Entah berapa kali kami menangis mengenangkan betapa ibu ayah di rumah yang telah banyak berkorban menaruh harapan yang menggunung terhadap kami.
Pak Man bijak menyentuh hati kami dengan menjadikan ibu bapa sebagai fokus utama untuk menginsafkan kami.

Tidak cukup dengan itu, ditautkan kami sesama batch dengan ikatan ukhuwwah dan kasih sayang.
Dajarkan kami dengan nasyid yang mengeratkan ikatan persahabatan kami.
Malah, sejak hari itu, setiap pagi, seusai roll call asrama, kami berpimpinan tangan sesama akhawat berjalan menuju ke kelas beriringan sambil mengalunkan nasyid dan selawat yang diajarkan.
Sambil memperbaharui niat dan azam untuk berusaha dengan lebih gigih dan saling membantu antara satu sama lain.

Ah..saat itu menang manis sekali.
Apabila hubungan ukhuwwah mekar mengharumi.
Dunia terasa indah sekali.
Sungguh nikmat terasa dikecapi.

Hari ini, saya yakin kenangan bersama Pak Man bersemadi di setiap kotak memori pelajar Form 5 batch 2004.

WALAUPUN JASAD PAK MAN KINI BERADA JAUH DI PERUT BUMI,
JASANYA TIDAK AKAN KAMI LUPAKAN.

Hampir 3 tahun beliau meninggalkan kami.
Pergi, tidak lagi kembali.
Membawa segala memori indah kami.

Jujurnya, saya amat rindukannya.
Seperti seorang bapa, wajahnya yang tenang itu sarat dengan kasih sayang.
Walaupun kadangakala disulami dengan ketegasan, itulah sifat seorang bapa yang punya cara tersediri untuk mendidik anak-anak bangsanya.

Pak Man, engkaulah guru dan bapa kami.
Guru dan bapa yang amat kami rindui.

Al fatihah.....

Iman Muslihah
6 zul kaedah 1429