Monday 12 October 2009

Rahsia

Sabtu, 10 Oktober 2009.

Pagi ini, bumi Sheffield masih basah. Matahari baru sahaja datang. Hujan yang bercucuran datang pada hari-hari yang semalam mungkin sudah segan asyik bertandang. Sesekali bayu bertiup, bunyi-bunyi burung menyambut seruan alam. Warna-warna keceriaan mula terlakar di dada langit. Barangkali burung-burung itu sudah tahu, tatkala hujan dan mendung menghilang, sang pelangi akan datang memberi salam.

Ah, bahasa alam memang puitis.

Sudah lama saya tidak mentadabbur bahasa alam. Bukan tidak mahu, tetapi saya gagal menemukan ruang-ruang waktu yang mampu menghanyutkan saya dalam keindahan panorama alam buana. Saya terpaksa akur dengan peredaran masa yang sungguh radikal. Pagi hingga ke lewat petang fizikal saya tunduk kepada tuntutan terhadap pelajaran. Semakin lama, ia semakin mendesak. Hingga kadangakala saya kehilangan nafas yang panjang.