Saturday 7 March 2009

Antara pelik dan berbeza.


Oleh: Halawatul Iman

Pada suatu malam, bertempat di sebuah dorm Dedikasi, aspura Sekolah Menengah Kebangsaan X.

1502

“Aku bengang betullah dengan seorang senior ni, Dol. Tension betul!,” bentak Leman. Turun naik nafasnya menahan marah.

“Apa hal beb? Rilek la..apa tension-tension ni..cool..cool,” jawab Dol tenang, sambil mengeluarkan kepulan asap daripada rongga hidungnya.

“Aku tak puas hati lah kat mamat ni. Dahlah rampas CD Metallica favourite aku, koleksi sepanjang hayat aku tu Dol! Tapi yang buat aku angin satu badan ni,dia siap fire aku dengan ceramah agama dia. Kalau cakap baik-baik, aku boleh tahan lagi. Ni, siap sindir kaw-kaw kat aku, huh!” Leman merengus kasar. Panas betul hatinya.

“Dia cakap apa beb? ” tanya Dol seraya mencapai mangkuk plastik biru, milik Dewan Selera di hujung katil. Lalu sisa puntung rokoknya ditenyeh-tenyeh.

“Dia selamba je cakap aku ni menyusahkan masyarakat,buat malu pelajar Melayu Islam je kat sekolah ni. Kau tahu dia sembur kat aku macam ni, sudah-sudahlah ponteng kelas, dengar lagu rock kapak, bercouple, merokok..buat tambah koleksi dosa je, kau nak kena panggang kat neraka ke?. Siap bagi ayat quran kat aku suruh bertaubat. Berlagak alim betul! Suka hati akulah, yang penting aku nak enjoy!,”

“Pergh, dia cakap macam tu kat kau beb? Memang kurang ajar betul mamat tu. Bajet selalu pergi surau, bodek ustaz , dah cukup bagus lah tu? Diorang tu siapa nak tegur-tegur kita? Apa diorang ingat kita ni tak jahil sangat ke? Aku ni walaupun selalu ponteng surau, tapi aku sembahyang je beb!,” keras suara Dol, membela diri sendiri walaupun dalam kotak fikirannya, dia teringat pagi tadi dia hanya sempat solat subuh gajah.

“Entah, aku tak paham la orang macam tu. Masa bagi tazkirah kat surau, cakap bukan main lebat suruh berakhlak mulia, jaga percakapan. Tapi, bila nak tegur kesalahan kita, mak aih..mulut lancang mengalahkan gangster. Neraka, dosa, azab semua keluar. Diorang ni,dahlah tak nak pandang orang macam kita, lepas tu, bila kita buat salah, nak hentam-hentam pulak,” bentak Leman. Kali ini giliran dia pula menyalakan lighter ke muncung rokoknya.

Tiba-tiba…

Tok..tok..tok..!! Buka pintu ni! Cepat!

Bergegar pintu dorm Dedikasi seketika. Macam nak runtuh pintu itu diketuk gamaknya.

“Eh,siapa tu Dol? Alamak, warden ke? Menyemak betullah orang tua ni!”

“Entah!..Eh, cepat nyorokkan rokok tu!” gesa Dol, pucat lesi wajahnya.

Tidak sempat mereka berganjak, pintu terkuak kuat.

Tiba-tiba wajah Cikgu Jabar tersembul di muka pintu.

…………………………………………………………………………………………………………………………………………………..

Remaja.

Melalui zaman remaja memang adventerous. Berbagai-bagai perkara ingin dicuba. Pada umur sebeginilah, hormon-hormon biologi mula mencucuk-cucuk keinginan untuk mencuba sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Bagaikan pemburu yang tegar memburu hasil buruan untuk dibawa pulang, begitulah agaknya perumpamaan remaja yang bersungguh-sungguh memburu kebebasan hidup remaja yang hadir cuma sekali.

Kebebasan! Hiburan!

Untuk apa kebebasan dan hiburan itu?

Untuk mendapatkan kerehatan setelah penat melakukan aktiviti seharian.

Itulah dua elemen yang sering diburu oleh kebanyakan remaja, tidak kira bangsa dan agama pada hari ini. Sebagai manusia biasa, sudah menjadi fitrah untuk kita menginginkan seteguk nikmat kebebasan dan hiburan. Masakan tidak, jika robot yang dicipta untuk bekerja pun perlu direhatkan seketika untuk mengelakkan enjin menjadi terlalu panas dan rosak, inikan pula manusia yang dikurniakan hati,akal dan perasaan. Tentu sahaja mereka ingin melakukan sesuatu yang disukai untuk merehatkan diri setelah penat bekerja.

Fitrah keinginan menusia untuk berehat sejajar dengan sunnatullah yang disusun dengan sangat indah:

“Daripada rahmat-Nya, (Allah) menjadikan bagi kamu malam dan siang untuk kamu berehat dan mencari rezeki, mudah-mudahan kamu bersyukur”. (Al Qasas : 73)

Ada juga yang manusia yang mencari sumber kerehatan dengan melakukan aktiviti yang disukainya termasuklah mencari kedamaian melalui hobi muzik, menonton wayang, membeli belah, dan tidak kurangnya mencari kekasih hati!

couple-11




Contoh hiburan yang membawa masyuk dengan ketenangan jiwa?


Manusia memang pelbagai. Justeru tidak hairanlah bilamana dalam memilih jenis hiburan demi mencari secebis ketenangan dan kerehatan, kita akan menemukan variasi yang beraneka dan mungkin juga sesetengahnya dipandang agak pelik oleh segolongan yang lain.

Pelik?

Mari saya bawakan dua contoh mudah.

Contoh satu:

“Bang, Mah pelik betullah tengok anak kita si Leman tu. Lemas tengok biliknya tu bersepah dengan CD rock entah apa-apa, dengan gitar elektriknya lagi. Kadang-kadang Mah ada juga menghendap apa lah yang dibuat dalam bilik, bising betul dengan bunyi gitarnya tu. Abang tahu, dia buat apa masa tu?” rungut Mak Mah kepada si suami.

“Dia buat apa Mah?’ terangkat sedikit kening Pak Salim.

“Dia terkinja-kinja macam orang hilang akal! Tak cukup tu, kepalanya tu habis digoncang-goncangkan ikut rentak muzik. Ya Allah, naik darah Mah dibuatnya bang! Bila Mah sergah dia, kenapa dia buat macam tu, abang tahu, dia jawab apa?” uji Mak Mah lagi.

“Dia kata, rilek lah mak..orang nak berhibur pun tak boleh. Mak tahu apa, inilah cara orang muda sekarang mencari ketenangan. Kita kena feel bila dengar muzik mak, barulah jiwa masyuk. Huh, tenang apa tu, dam dum dam dum bunyi muzik, buat berserabut lagi adalah! Pelik betul saya, bang. Pelik!…” bebel Mak Mah, tegang.

Pak Salim menggeleng-gelengkan kepala.

Contoh dua:

“Eh, Dol tadikan aku nampak Si Azwan kat surau, alaa yang menang tilawah Al Quran hari tu. Budak yang kalau berjalan tu, tunduk je memanjang. Kalau ada awek kat depan, lagilah tunduk, silap-silap boleh langgar tiang” ujar Leman membuka bicara.

“Ha..apasal dengan dia?”

“Aku nampak dia sorang-sorang dalam surau tadi. Dia menangis masa baca Al Quran dowh! Pelik betul aku!” ucap Leman sambil mengurut-ngurut dagunya.

“Ha ah..aku pun pelik dengan mamat ni. Hari tu dia pernah duduk borak-borak dengan aku. Baik juga lah sebenarnya dia tu. Dia tanya aku, apa hobi aku. Aku jawablah muzik rock! Bila aku tanya dia pula, dia cakap dia suka dengar dan baca Al Quran. Dia kata best baca Al Quran, hiburan untuk dia. Tapi iya-iya je dia tu. Ye lah, macam mana pula baca Al Quran boleh masyuk? Dah lah bahasa Arab, bukannya faham pun. Lainlah rock, kena penangan head banging..hui..memang layan lah..” tukas Dol.

“Betul tu! Memang pelik, ada ke baca Quran boleh masyuk…Pelik bin ajaib!..”,sokong Leman.

……………………………………………………………………………………………………………………………………

Variasi

Sewaktu kecil, saya dan adik gemar menonton filem fiksyen dan aksi, terutama lakonan pelakon Arnold Schwarnegger. Filem yang masih segar dalam ingatan saya adalah berkaitan dengan pengklonan manusia- The Sixth Day. Ketika itu, baru pertama kali saya mengetahui tentang isu pengklonan dan ia benar-benar menarik perhatian saya.

Maha suci Allah yang menciptakan manusia yang mempunyai variasi bukan sahaja dari segi paras rupa, malah pemikiran, tabiat dan sebagainya. Saya kira, usaha manusia untuk mencipta manusia melalui apa jua cara termasuk pengklonan adalah sesuatu yang mustahil. Mungkin, dengan pengaplikasian teknologi, manusia mampu menghasilkan individu lain yang mempunyai paras rupa yang sama, namun tidak pada akal dan hati manusia itu. Masakan tidak, akal dan hati dipegang oleh Allah.

TIDAK..dan TIDAK mungkin manusia mampu melangkaui kehebatan Al Khalik.

Semakin menginjak dewasa, saya acapkali memikirkan tentang penciptaan manusia yang mempunyai pelbagai tabiat yang unik. Kadangkala mungkin sukar untuk difahami oleh segolongan yang lain. Sepertimana dua contoh yang saya berikan di atas, Dol, Leman dan Azwan adalah golongan remaja yang sebaya. Namun, masing-masing punya minat yang sangat berbeza. Malah, ideologi dan kefahaman mereka tentang hiburan juga amat jauh senggangnya.

Dalam meniti usia remaja, ruang lingkup “circle of friends” saya semakin lama semakin besar. Saya mengenali lebih ramai manusia yang mempunyai variasi dalam perlakuan dan pemikiran. Jujur saya katakan, sebelum ini ketika di sekolah atau kolej persediaan, saya lebih banyak dikelilingi oleh rakan-rakan yang dilabel “budak alim-alim/bertudung labuh/orang surau dan sebagainya” .

Namun, realiti kehidupan yang sebenar menuntut saya untuk berurusan dengan pelbagai manusia yang dikurniakan pemikiran dan latar belakang yang sangat berbeza. Sepanjang saya mengenali mereka, saya menemukan beraneka ‘ibrah yang perlu saya pelajari sebagai bekalan untuk misi membawa diri sendiri dan insan lain kepada Tuhan.Ketika inilah saya cuba menelaah kelakuan manusia dan mengkaji kecenderungan yang mencorakkan kehidupan manusia pada hari ini.

“Wahai manusia sesungguhnya kami (Allah) telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan” .(Al hujurat : 13)

Bertitik tolak pada kepelbagaian penciptaan manusia dalam surah Al Hujurat :13, maka secara automatiknya masyarakat manusia dituntut untuk saling mengenali antara satu sama lain untuk membuahkan kefahaman tentang tabiat dan sifat manusia lain. Kefahaman terhadap manusia lain yang dilakukan secara ikhlas akhirnya akan menerbitkan bibit-bibit kasih sayang dan rasa kepedulian.

…………………………………………………………………………………………………………………………….

Jalan Pintas

Dalam diari kembara seorang pendakwah, proses pendidikan jiwa menuntut kesungguhan yang berpanjangan kerana ia melibatkan pengacuan jiwa, rohani dan nilai (in put) untuk menghasilkan tabiat/perlakuan (out put). Disebabkan proses mengadunkan ramuan jiwa, rohani dan nilai agak abstrak dan sukar, maka tidak hairanlah jika ada di kalangan para daie yang hilang sabar dan mengambil jalan pintas untuk mencapai misi amar makruf nahi munkar . Jalan pintas yang kadangkala melanggar etika kod hormat, kasih sayang dan kemanusiaan yang menjadi fitrah penciptaan manusia.

“Hey! Korang ni tak sedar tak couple ni dosa besar? Dah gatal sangat ke hah? Kau tahu tak couple ni dah nak dekat dengan zina ! Apa korang nak buat kerja terkutuk zina tu?” marah seorang pengawas sekolah kepada beberapa orang pelajar.

“Ni semua korang punya pasal.Suka-suka hati buat dosa, lepas tu bawa bencana pada orang lain! Kau tahu tak seorang buat dosa bila-bila masa je Allah boleh turunkan bala pada semua orang. Kau ingat konsert-konsert ni boleh bawa pergi kubur ke?,” sindir seorang senior kepada juniornya.

Jalan pintas memang mudah. Semua orang mahukan jalan yang mudah untuk berjaya. Namun, pada hakikatnya sangat sidikit kejayaan yang mampu digapai melalui jalan pintas. Penciptaan sebiji mentol oleh Thomas Edison pada hari ini menyaksikan beribu-ribu eksperimen telah dijalankan.

Itu, penciptaan sebiji mentol. Bagaimana pula pembentukan dan tarbiyah jiwa dan rohani seorang manusia?

Tentu sekali ia menuntut kesabaran, kesungguhan dan logika pemikiran dalam berhadapan tabiat kemanusiaan manusia. Manusia dicipta dengan kepelbagaian, maka untuk menghadapi manusia yang pelbagai, ia memerlukan strategi yang juga pelbagai. Namun, walau apapun strategi yang dirancang, ia mesti direncanakan mengikut norma tatakemanusiaan.

Kerana pendakwah sedang berurusan dengan manusia, maka etika kemanusiaan perlu dijaga.Apabila pendakwah tidak menjaga kemanusiaan manusia, ini bermakna dia telah melanggar sehimpun sunnatullah aturan-Nya.

Dakwah dan tarbiyah bukan hanya berkisar kepada tanggungjawab untuk melepaskan diri ketika dipersoal di akhirat kelak, tetapi ia menagih keiklasan, kesederhanaan, kesungguhan, kepedulian dan kejujuran. Untuk berdakwah, pendakwah bukan sahaja perlu mengenal Tuhan, pendakwah perlu mengenali manusia. Mesej dakwahnya mesti rabbani, pendekatannya mesti manusiawi.

…………………………………………………………………………………………………………………………………………

Tuaian buah kesabaran yang manis.

Saya masih teringat ketika saat saya mula-mula memegang usrah seawal saya melangkah ke tahun dua. Saya amati setiap seorang mad’u yang rata-ratanya lebih tua daripada saya. Berdebar rasanya apabila berhadapan dengan orang yang lebih awal makan garam daripada saya. Saya akui, ketika saya membuat persediaan untuk usrah buat kali pertama, bermacam-macam persediaan saya lakukan. Untuk sesi tilawah dan tadabbur sahaja, saya mengambil masa yang lama untuk menggali isi-isi Al Quran berpandukan rujukan dan memerah otak untuk menyampaikan perkongsian dalam konteks yang lebih segar dan bernas.Mengapa saya begitu nervous? Kerana saya berhadapan dengan mad’u yang lebih matang dan mempunyai sejarah tersendiri yang perlu saya fahami dan dekati dengan cara tertentu.

Kadangkala, rasa cemas tidak segan-segan datang mencucuk tatkala saya mengenangkan betapa mad’u saya kali ini mempunyai pemikiran yang kritis dan sangat responsif. Jujur saya katakan, jika hendak saya bandingkan kapasiti persediaan pengisian yang akan saya persembahkan untuk mad’u saya, kapasiti persediaan untuk golongan kakak-kakak ini melebihi berganda-ganda daripada adik-adik. Bukan untuk memandang rendah terhadap tahap penerimaan adik-adik, tetapi pengalaman lalu banyak mengajar saya selok belok psikologi penerimaan golongan adik-adik berbanding golongan kakak-kakak.

  • People don't care how much you know until they know how much you care
  • People don’t care how much you know, until they know how much you care.

    Malah, melihat latar belakang mad’u saya kali ini , mengheret saya untuk cuba mempelajari selok belok lorong-lorong kemanusiaan yang belum pernah saya terokai. Ada yang datang daripada situasi A, ada pula berasal daripada latar belakang situasi B. Ada pula yang pernah melalui situasi B, tetapi kini berada dalam kelompok situasi A.

    Memang unik, masyaalah! Keunikan ini akhirnya membawa saya melalui satu fasa kehidupan yang memberikan warna baru dalam hidup saya. Memang kadang kala keunikan yang pelbagai ini menemukan sedikit cabaran dan kesulitan, namun inilah kehidupan! Kehidupan yang mengajar hakikat menjadi seorang insan di bumi Tuhan.

    Kadangkala dalam misi menyampaikan content dakwah, akan ada situasi di mana kita akan berhadapan dengan persimpangan dilema. Dilema yang menyaksikan kita terpaksa memilih antara hablu minallah dan hablu minannas. Namun, pendakwah yang bijak akan mengadunkan kedua-dua “ramuan” ini dalam satu mangkuk adunan dan mencanai adunan dengan cermat. Kemudian adunan tersebut dibentuk dengan cantik dan dibakar dengan “suhu” yang sesuai untuk menghasilkan satu hidangan “peringatan” yang mapan dan berkesan.

    …………………………………………………………………………………………………………………………………………….

    Pejam celik-pejam celik, masa pantas berlalu. Tidak lama lagi, semester akan menghampiri penghujungnya. Salah seorang anak usrah saya akan pulang ke Malaysia dan kehilangannya pasti akan dirasai oleh seluruh ahli “keluarga” kami. Maha suci Allah, pada hari pertama kami bertemu, tiada sesiapa yang menjangka hubungan kasih sayang yang dibina pada hari ini bermula dengan jurang perbezaan yang amat ketara.

    Namun, siapa kata latar belakang yang berbeza tidak mampu menyatukan hati-hati manusia yang sebenarnya dahagakan sentuhan kerohanian dan juga penghormatan sebagai manusia biasa?

    Hujung minggu lepas menyaksikan air mata saya begitu murah mengalir. Buat pertama kalinya saya menyaksikan penyatuan hati-hati yang sungguh erat . Secara jujurnya, saya menyaksikan penyatuan hati itu sedikit demi sedikit membungakan nilai-nilai pendidikan jiwa dan amal yang dibentuk tanpa dipaksa-paksa. Tidak dinafikan, proses penanaman nilai ini mengambil masa yang sangat lama dan kesabaran yang sangat tinggi, namun hanya Allah yang tahu nikmatnya kemanisan tatkala menjamah hasil tuaian kesabaran.

    “Wanie..janganlah nangis lagi. Kenapalah terharu sangat ni.Tahu tak malam tadi kan kitorang karaoke lagu nasyid kat youtube! Ye lah, sebelum ni Nana, mana tahu nasyid-nasyid ni. Dibah tunjukkan Nana banyak lagi nasyid. Banyaklah lagu pasal Rasulullah..sirah yang Wanie ajar masa usrah tu. Eh, nak tahu tak Wanie, setelah menyanyi bersama-sama, kami mendapati kami berpotensi melahirkan album. Dah boleh dah kalahkan Wanie! Hahahha..!!, usik salah seorang anak usrah saya yang cuba menghentikan sendu saya melalui corong telefon pada hari itu. Entah mengapa saya begitu tersentuh, hanya Allah sahaja yang tahu.

    Mungkin bagi sesetengah orang, apalah sangat dengan amalan membaca Al Quran semuka setiap hari atau beristighfar sebelum tidur, atau solat jemaah sekali sehari atau mengehadkan pergaulan dengan rakan lelaki atau hatta menukar alternatif minum kopi di Starbuck kepada Costa Coffee sekali pun!. Mungkin perubahan amalan yang minimum seperti ini hanya dipandang enteng oleh kebanyakan kita. Namun, bagi individu itu sendiri, ia menuntut seribu satu kesungguhan dan kepayahan untuk bangkit daripada kejatuhan yang memeritkan. Biarpun perubahan yang dilakukan itu sedikit, namun dia berhak mendapat penghargaan yang berupa kepedulian dan kasih sayang.

    People don’t care how much you know, until they know how much you care.

    12 Rabiul awal hanya berbaki beberapa hari lagi. Moga ulang tahun kelahiran Rasulullah pada tahun ini mampu membawa kita menelusuri sirah perjalanan kehidupan dakwah baginda dan mengambil ‘ibrah pendekatan dakwah kemanusiaan dalam usaha menyampai mesej Rabbani yang dipaparkan menerusi qudwah hasanah agung itu.


    Tinta daripada hamba Tuhan,

    iman muslihah

    10 Rabiul Awal 1430

    Sheffield, UK.